ALOR SETAR – Tiga pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Setar, di sini atas tuduhan mencuri wang tunai RM200,000 milik majikan mereka.
Pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Siti Nurhidayah Mohd Noor pada Isnin.
Muhd Fairul Fizree Abdul Hamid, 38, mengaku bersalah, manakala Mohamad Zul Hilmi Ahmad, 37, dan Muhammad Fadzli Yaakub, 28, mengaku tidak bersalah.
Mereka didakwa mencuri wang tunai tersebut di sekitar lampu isyarat Taman Kristal pada pagi 19 November lalu.
Tuduhan ini berdasarkan Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Mahkamah kemudiannya menetapkan menjatuhkan hukuman ke atas Muhd Fairul Fizree pada Selasa selepas barang kes gagal dikemukakan di mahkamah dan telah dibebaskan dengan jaminan RM4,500.
Peguamnya, H. A. Chuah, memaklumkan bahawa Muhd Fairul Fizree berpendapatan RM1,500 sebulan dan menanggung anak kakaknya yang perlu menjalani dialisis.
Dua lagi tertuduh, Mohamad Zul Hilmi dan Muhammad Fadzli, juga telah dibebaskan dengan jaminan yang sama.
Kes mereka ditetapkan untuk serahan dokumen pada 29 Disember.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, R. Jayasri. Mohamad Zul Hilmi diwakili peguam Ilyana Syafiqa Md Saad, manakala Muhammad Fadzli diwakili peguam dari Tetuan Susan Lee & Co.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa ketiga-tiga pengawal keselamatan ini ditahan polis selepas disyaki pecah amanah dengan cuba melarikan wang RM200,000.
Mereka turut membuat laporan palsu mendakwa van syarikat yang dipandu mereka telah disamun dan guni berisi wang tersebut dibawa lari.