Thursday, 12, December, 2024
Utama Negeri UMNO Kedah cabar Sanusi dedahkan dalang sabotaj pelaburan

UMNO Kedah cabar Sanusi dedahkan dalang sabotaj pelaburan

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – UMNO Kedah mencabar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, untuk mendedahkan pihak yang didakwa sedang merangka pelan mega untuk mensabotaj pelaburan di negeri ini.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, menyuarakan kebimbangan terhadap cubaan memanipulasi persepsi dan sentimen yang didakwa dimainkan oleh Menteri Besar.

Menurut beliau,tuduhan ini dilihat sebagai tidak berasas dan hanya bertujuan mencipta persepsi dan sentimen murahan bagi mengaburi kegagalan kerajaan negeri dalam mengekalkan pengumuman pelaburan yang sedia gagal.

“Beliau mendakwa ada pihak yang sedang merangka pelan mega atau “grand plan” untuk mensabotaj dan menggagalkan pelaburan di negeri Kedah.

“UMNO Kedah mencabar YAB Menteri Besar untuk mendedahkan siapakah dalang di sebalik “grand plan” tersebut,” katanya pada Selasa.

Shaiful Hazizy menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak boleh ditadbir melalui kaedah perang persepsi dan sentimen semata-mata, tetapi perlu bersikap realistik dan praktikal demi kelangsungan rakyat.

UMNO Kedah yakin bahawa rakyat semakin menyedari strategi politik berselindung dan mengaburi yang sering diamalkan oleh Menteri Besar.

Shaiful Hazizy menambah bahawa politik sedemikian hanya akan memberi kesan negatif kepada rakyat dan negeri Kedah itu sendiri.

Pada Isnin, media melaporkan bahawa Muhammad Sanusi mendakwa terdapat plot yang dicipta untuk menggagalkan pelaburan swasta di negeri ini.

Beliau merujuk kepada keputusan peneraju pelaburan global Bin Zayed International Group of Companies (BZI) untuk menarik diri daripada projek Langkasuka bernilai RM40 bilion di Langkawi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com