Wednesday, 4, December, 2024
Utama Negeri Kadar pengangguran Kedah terendah dalam negara

Kadar pengangguran Kedah terendah dalam negara

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Kadar pengangguran di Kedah mencatatkan penurunan kepada 1.7 peratus pada tahun ini berbanding 2.6 peratus pada 2023, menjadikan Kedah negeri dengan kadar pengangguran terendah di negara ini.

Exco Sumber Manusia, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, dan NGO negeri, Wong Chia Zhen, menyatakan bahawa peratusan ini jauh lebih rendah berbanding purata nasional 3.3 peratus, membuktikan keberkesanan langkah yang diambil oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk program Kedah Future Leaders, Sekretariat Belia Sejahtera, Karnival Kerjaya bersama PERKESO, serta program pemerkasaan latihan kemahiran vokasional bersama institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negeri.

“Langkah ini bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia tetapi juga memastikan mereka dilengkapi kemahiran dan pengalaman yang relevan.

“Pengembangan zon industri baharu seperti Delapan Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ), Kedah Rubber City, Kedah Science & Technology Park, dan Kedah Aerotropolis turut membuka ribuan peluang pekerjaan berkualiti tinggi dalam sektor teknologi dan pembuatan,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan negeri akan terus memperkasakan program keusahawanan belia dan industri kecil dan sederhana (IKS) melalui pelbagai program pembiayaan, latihan perniagaan, serta promosi ekonomi digital untuk memberi ruang kepada belia membina kerjaya yang berdaya saing.

“Kedah akan terus berusaha menjadi negeri yang bukan sahaja rendah kadar penganggurannya, malah dapat menyediakan peluang pekerjaan lebih baik dan meluas khususnya kepada golongan anak muda,” jelas Chia Zhen.

Beliau yakin menerusi dasar yang konsisten dan usaha berterusan, Kedah mampu meningkatkan lagi kesejahteraan ekonomi seiring dengan pembangunan belia di negeri ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com