KUALA LUMPUR – Hyundai Motor Company (Hyundai Motor) mengumumkan pembukaan kilang pengeluaran di Kulim, Kedah dengan nilai pelaburan mencecah RM2.16 bilion.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, menyatakan bahawa pelaburan ini menjadikan Malaysia sebagai hab eksport kenderaan Hyundai.
“Pelaburan ini akan memberikan peluang kepada rakyat Malaysia untuk mendapatkan kenderaan Hyundai pada harga yang lebih kompetitif. Hyundai Motor juga akan menggunakan komponen domestik dalam kenderaan yang dihasilkan,” katanya selepas menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara agensi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan syarikat dari Korea Selatan di Seoul.
Perbincangan bersama Hyundai Motor diadakan dalam satu sesi tertutup bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kilang ini dijangka memulakan pengeluaran pada pertengahan 2025, menghasilkan tujuh model kenderaan dengan enjin hibrid dan pembakaran dalaman (ICE) dalam tempoh lima tahun ini.
Pengeluaran kenderaan elektrik (EV) mungkin akan dimasukkan dalam jangka panjang.
Tengku Zafrul juga menyasarkan perbincangan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan Korea Selatan dapat diselesaikan sebelum April 2025 dan dimuktamadkan semasa lawatan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, ke Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025.