Wednesday, 4, December, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah MAQIS gagalkan cubaan seludup 23 tan ayam sejuk beku bernilai RM245,640

MAQIS gagalkan cubaan seludup 23 tan ayam sejuk beku bernilai RM245,640

oleh Ammar Haziq

BUKIT KAYU HITAM – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk 23,000 kilogram (kg) ayam sejuk beku, dianggarkan bernilai lebih RM245,640 di laluan kargo Pintu Masuk Bukit Kayu Hitam pada Selasa lalu.

Pengarah MAQIS Negeri Kedah, Hisham Abu Bakar, berkata, pemeriksaan rapi oleh pasukan penguatkuasa menemui 23,000 kg keratan ayam sejuk beku yang mempunyai tarikh luput dan nombor perakuan yang berlainan dengan sijil halal yang diisytiharkan.

Menurutnya, Ini adalah pelanggaran serius di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728), dan semua barang rampasan kini ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM50,000.00 atau kedua-duanya sekali,” kata beliau.

Hisham menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil untuk memastikan barangan pertanian yang diimport ke negara ini, termasuk tumbuhan, karkas, ikan, dan hasil pertanian, bebas daripada ancaman perosak dan penyakit berbahaya.

Beliau turut menambah bahawa kerjasama antara agensi penguatkuasa adalah kunci bagi memastikan kepatuhan kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan untuk melindungi keselamatan serta kesihatan sektor pertanian negara.

“Penguatkuasaan berterusan ini adalah sebahagian daripada usaha MAQIS dalam mengekang kemasukan barangan pertanian secara haram yang boleh mengancam ekosistem dan kesejahteraan masyarakat,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com