Wednesday, 4, December, 2024
Utama Umum MyLesen B2 bantu jana ekonomi B40 di Kedah

MyLesen B2 bantu jana ekonomi B40 di Kedah

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, melalui JPJ Negeri Kedah, menyerahkan bantuan Lesen Memandu Malaysia Kelas B2 (Motosikal) kepada 1,000 penerima menerusi Program MyLESEN Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Bin Ramli berkata, para penerima bantuan ini terdiri daripada golongan B40 dan pelbagai lapisan umur, dari 16 hingga 70 tahun.

Menurutnya, sebanyak 70 peratus daripada jumlah keseluruhan penerima adalah pelajar sekolah dan golongan belia di Negeri Kedah.

“Program ini merupakan komitmen Kerajaan untuk membantu golongan B40 meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan, terutama dalam ekonomi gig.

“Inisiatif ini juga bertujuan mendidik masyarakat mengenai kepatuhan peraturan jalan raya dan keselamatan jalan raya,” katanya pada Majlis penutupan Program MyLesen B2 peringkat Negeri Kedah berlangsung dengan jayanya di Dewan Al-Farabi, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Kedah, di sini.

Jelasnya, program ini bertujuan membantu golongan belia dan masyarakat setempat mendapatkan lesen motosikal kelas B2 secara percuma serta bimbingan berterusan daripada kerajaan.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan pentingnya kesedaran keselamatan jalan raya dan mematuhi peraturan lalu lintas.

“Program MyLesen B2 bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk memiliki lesen motosikal, tetapi juga mendidik mereka mengenai kepentingan menjadi pengguna jalan raya yang berhemah.

“Dengan adanya lesen yang sah, risiko terlibat dalam kemalangan dapat diminimumkan,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBrs. Tuan Stien Van Lutam, Pengarah JPJ Negeri Kedah, YBrs. Tuan Haji Mohamad Kamal Bin Hashim, Timbalan Pengarah Pendidikan Murid JPN Kedah, pegawai-pegawai kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan wakil-wakil daripada Institusi Memandu yang terlibat.

Program MyLesen B2 ini dijangka akan diteruskan pada masa akan datang bagi memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat Kedah, sejajar dengan matlamat kerajaan meningkatkan keselamatan jalan raya di seluruh negara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com