Monday, 29, April, 2024
Utama Umum Kerjasama kesatuan guru penting salur agenda pendidikan negara

Kerjasama kesatuan guru penting salur agenda pendidikan negara

oleh Ammar Haziq

NILAI:Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan kerjasama kesatuan guru penting bagi memastikan agenda pendidikan negara dapat disampaikan lebih menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata ini kerana Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa menggunakan saluran kesatuan khususnya melalui Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) menyampaikan maklumat dan dasar KPM.

“Kesatuan guru juga sentiasa komited memperjuangkan isu pendidikan khususnya menyokong serta membantu kementerian dalam melaksanakan agenda pendidikan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Pendidikan MADANI Memartabatkan ‘Karamah Insani’ Membangun Generasi MADANI di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini hari ini.

Mengenai seminar itu, Fadhlina berkata Karamah Insani adalah konsep yang menyatukan segmen Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan secara holistik dan bersepadu.

“Citra peribadi keunggulan guru itu harus bermula dengan mempunyai sifat insani untuk melaksanakan agenda pendidikan manusiawi Malaysia MADANI,” katanya.

Katanya nilai insani perlu diterapkan dalam kalangan pelajar seperti empati, rahmah, adil dan ihsan antara satu sama lain.

Seminar itu disertai 350 peserta terdiri daripada ahli kesatuan gabungan Kongres, pensyarah USIM, Pensyarah Kolej PERMATA Insan serta pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam dan IPG Kampus Pendidikan Teknik Nilai.

Sementara itu, Fadhlina sekali lagi mengulangi bahawa kementerian perlu memberi perhatian terhadap cabaran dalam sektor pendidikan terutama isu buli, jenayah seksual dan perkauman.

Justeru, menurutnya nilai cinta perlu diterapkan untuk menghakis segala perkara negatif yang wujud sama ada di luar atau dalam sektor pendidikan negara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com