Thursday, 12, December, 2024
Utama Nasional “Jangan terkejut jika kerajaan dihukum pada PRU16”

“Jangan terkejut jika kerajaan dihukum pada PRU16”

oleh Ammar Haziq

LANGKAWI – Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazifuddin Najib, mempersoalkan mengapa kebenaran berkaitan titah adendum pengampunan bapanya, Datuk Seri Najib Tun Razak, perlu disembunyikan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi turut tertanya-tanya tentang niat sebenar mereka yang terlibat secara langsung dalam isu titah adendum pengampunan tersebut.

Nazifuddin berpandangan bahawa tindakan ini hanya mendedahkan betapa rendahnya integriti dalam sistem yang ada pada hari ini.

“Titah adendum ayahanda telah dikeluarkan dan tersebar di media sosial, membawa bukti yang jelas dan kuat. Keputusan ini mengukuhkan lagi haknya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan setimpal,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Menurutnya, rakyat kini menuntut undang-undang agar keadilan ditegakkan dengan penuh ketelusan tanpa sebarang penyelewengan atau gangguan kuasa politik.

Beliau menambah bahawa rakyat Malaysia ingin melihat kerajaan PH-BN melakukan sesuatu yang jujur dan telus.

“Andai kerajaan ambil sambil lewa serta membiarkan tangan-tangan ghaib melakukan sesuatu dengan sesuka hati pada perundangan Negara Berdaulat Malaysia ini,

maka jangan terkejut andai nanti kerajaan akan dihukum pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Apa lagi yang mereka mahukan? Apakah mereka takut?” soal Nazifuddin lagi.

Nazifuddin juga berkongsi bahawa abangnya, Datuk Nizar Najib, telah membuat satu afidavit tambahan dan menyerahkan kepada mahkamah satu salinan titah adendum yang mengarahkan agar bapa mereka dikenakan tahanan di rumah.

“Di mana yang menyatakan bahawa itu adalah khabar angin atau ‘hearsay’? Malah, ada yang berani menyatakan bahawa titah adendum itu satu ‘forgery’ (palsu),” katanya.

Beliau menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak bijak dan terdesak oleh sesetengah ahli politik bersama penyokongnya, yang dilihat takut pada kekuatan pengaruh bapanya yang semakin menarik sokongan rakyat.

“Kekanda Nizar tidak sama sekali tergamak untuk menipu dan melakukan pemalsuan dokumen dengan menggunakan nama bekas Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Ini kerana beliau adalah insan yang menjulang integriti diri dan bekas YDPA, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah insan yang sangat beliau sanjungi dan hormati,” katanya.

Nazifuddin juga difahamkan bahawa dokumen-dokumen yang diserahkan oleh abangnya pada mulanya boleh diakses oleh orang ramai melalui sistem fail mahkamah seperti mana-mana kes jenayah yang lain.

“Tetapi kini, mahkamah telah menyekat dokumen-dokumen daripada diakses oleh orang umum. Apakah ada sesuatu yang disembunyikan juga? Kebenaran tetap akan muncul walau bagaimanapun cara ia dinafikan,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa perbuatan ini jelas mencerminkan ketidaktelusan dan kini rakyat Malaysia sedang menilai serta mempersoalkan sistem perundangan negara.

“Setiap hari ayahanda ‘berehat’ di kamar besi Penjara Kajang, yang mana pada pendapat saya ia adalah salah dari segi moral dan dengan titah adendum yang ‘sah’ ini, ia juga tidak patut membiarkan ayahanda terus terkurung bersendirian di sana.

“Sumpah mubahalah ayahanda telah mula memberi kesan,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com