Wednesday, 18, December, 2024
Utama Negeri UUM curi tumpuan, lonjak 95 anak tangga QS Sustainability 2025

UUM curi tumpuan, lonjak 95 anak tangga QS Sustainability 2025

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mencuri tumpuan apabila mencipta pencapaian membanggakandisenaraikan di kedudukan ke-745 daripada 1,751 universiti di seluruh dunia dalam QS World University Ranking: Sustainability 2025.

Kedudukan ini memperlihatkan peningkatan sebanyak 95 anak tangga dari kedudukan 840 pada edisi lalu.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, penarafan ini menonjolkan usaha universiti dalam melaksanakan inisiatif lestari dan tanggungjawab sosial berdasarkan prinsip Alam Sekitar (Environment), Sosial (Social), dan Tadbir Urus (Governance).

QS World University Ranking: Sustainability 2025 menggunakan tiga kategori utama sebagai asas penilaian, iaitu Impak Alam Sekitar (Environmental Impact) yang merangkumi tiga indikator, Impak Sosial (Social Impact) dengan lima indikator, dan Tadbir Urus (Governance).

Dalam kategori tadbir urus, UUM berada di kedudukan ke-465 terbaik dunia, seterusnya membuktikan kekukuhan budaya organisasi universiti yang beretika dan holistik.

Selain itu, pencapaian ini juga mencerminkan komitmen universiti terhadap agenda kelestarian global di mana kejayaan ini bukan sahaja satu pengiktirafan terhadap usaha UUM tetapi juga satu tanggungjawab untuk terus memacu pembangunan mampan dan menyemai nilai kelestarian dalam kalangan pelajar.

Dengan penarafan ini, UUM kini berada di landasan yang kukuh untuk memperteguh sumbangan terhadap pembangunan mampan melalui penyelidikan inovatif, pendidikan lestari, dan penglibatan komuniti.

Universiti turut berhasrat memastikan generasi pelajar masa depan mendapat pendidikan yang mendalam mengenai kelestarian dan membawa perubahan positif.

Penarafan QS World University Ranking: Sustainability 2025 merupakan satu platform penting untuk universiti di seluruh dunia mengukur impak mereka dalam menghadapi cabaran global. Ini juga seiring dengan hasrat UUM untuk terus relevan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Pengiktirafan ini adalah bukti kepada dedikasi UUM dalam menjadikan prinsip kelestarian sebagai teras operasi universiti untuk masa depan yang lebih mampan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com