Saturday, 18, January, 2025
Utama Mahkamah & Jenayah Dadah Methamphetamine bernilai RM3.52 juta dirampas Kastam

Dadah Methamphetamine bernilai RM3.52 juta dirampas Kastam

oleh Ammar Haziq

BUKIT KAYU HITAM- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Kedah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah jenis Methamphetamine bernilai RM3.52 juta pada 4 Disember lalu.

Menurut Pengarah Kastam Kedah, Nor Izah Abdul Latif, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan pegawai JKDM Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam bersama pasukan elit Customs Operational Battle Force Response Assault (COBRA) mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mencurigakan kira-kira jam 8.30 pagi pada Rabu lepas.

“Kenderaan terbabit didapati bergerak laju dari Taman Bandar Sejahtera menghala ke Jalan Kampung Tok Kun, Pokok Sena.

“Menyedari kenderaan dikesan, Orang Yang Disyaki (OYDS) bertindak terjun dari kenderaan yang masih bergerak dan cuba melarikan diri ke dalam kebun getah berhampiran. Bagaimanapun, tindakan itu gagal apabila pasukan penguatkuasa berjaya menahannya,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Bukit Kayu Hitam, di sini.

Jelas Not Izah, empat guni besar pelbagai warna tersorok di bahagian belakang kenderaan dan beberapa bungkusan berlabel teh cina yang dipercayai mengandungi dadah jenis Methamphetamine ditemui melalui pemeriksaan rapi ke atas MPV itu.

Menurutnya, anggaran berat dadah terbabit adalah 110 kilogram (kg) dengan nilai rampasan berjumlah RM3.52 juta.

“Sehubungan itu, suspek, kenderaan, dan eksibit dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan JKDM Bukit Kayu Hitam untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Tambah beliau, siasatan mendapati kereta mewah digunakan untuk mengangkut dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan tiada sebarang dokumen pengenalan dijumpai bersama OYDS.

Dadah jenis Methamphetamine tersebut diangkut dari Utara tanah air ke Lembah Klang dan dipercayai untuk pasaran gelap sekitar Lembah Klang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com