ALOR SETAR – Dua maut dalam kemalangan jalan raya yang berlaku di Jalan Lencong Barat, di sini selepas kenderaan jenis Mercedes yang dinaiki mereka dari arah Tol Alor Setar Selatan menghala ke Masjid Aman berlanggar dengan kenderaan jenis Hyundai Matrix yang sedang membuat pusingan U dari arah bertentangan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata balai Polis Trafik Kota Setar menerima panggilan awam sekitar jam 9.10 malam sebelum mengerahkan pasukan pegawai penyiasat trafik ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut membabitkan dua kenderaan.
“Kenderaan jenis Mercedes yang dipandu dari arah Tol Alor Setar Selatan menghala ke Masjid Aman berlanggar dengan kenderaan jenis Hyundai Matrix yang sedang membuat pusingan U dari arah bertentangan.
“Akibat perlanggaran itu, kenderaan Mercedes berpusing beberapa kali sejauh kira-kira 35 meter. Dua penumpang kenderaan tersebut, iaitu pemandu dan penumpang belakang yang masing-masing berusia 18 tahun, disahkan maut di tempat kejadian,” katanya pada Rabu.
Ujar Siti Nor Salawati, tiga penumpang lain yang juga berusia 18 tahun mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, dua daripada mereka dirawat di Zon Merah manakala seorang lagi dirawat di Zon Kuning.
“Pemandu Hyundai Matrix, lelaki berusia 74 tahun, mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan kanan dan kini dirawat di sebuah hospital swasta di daerah ini,” katanya lagi.
Mayat kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis meminta kerjasama orang ramai, terutamanya saksi kejadian ini, untuk tampil memberi keterangan di Balai Polis Trafik Kota Setar atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Mohd Lukmanul Hakim bin Mohd Fauzi, di talian 047321222 atau 0139964614 bagi membantu siasatan.