Wednesday, 8, January, 2025
Utama Negeri 44,139 pesawah MADA terima Bantuan Khas Sumbangan Tunai lebih RM26 juta

44,139 pesawah MADA terima Bantuan Khas Sumbangan Tunai lebih RM26 juta

oleh Ammar Haziq

JERLUN – Sebanyak 44,139 pesawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bakal menerima Bantuan Khas Sumbangan Tunai (BKST) Fasa 2 Tahun 2024 sebanyak RM26,483,400 daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata sumbangan tersebut adalah skim bantuan khusus untuk pesawah padi yang berdaftar dengan agensi dilantik oleh KPKM.

jelasnya, bantuan berjumlah RM200 sebulan akan diberikan selama tiga bulan atau semusim penanaman padi.

“Kita mengharapkan bantuan ini dapat meringankan beban pesawah yang menghadapi kesan perubahan cuaca yang tidak menentu. Perubahan cuaca ini bukan sahaja dihadapi negara kita tetapi juga negara maju,” katanya pada Khamis pada Program Ihsan MADANI di pekarangan Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA F-II Jerlun, dekat sini.

Pemberian BKST mula disalurkan pada tahun 2023 selepas dibentangkan dalam sesi Belanjawan 2023 pada 7 Oktober 2022 oleh Perdana Menteri.

Pesawah yang layak akan menerima bantuan tunai yang disalurkan terus ke dalam akaun sedia ada atau akaun Agrobank mereka dalam tempoh tujuh hari bekerja selepas pengesahan MADA.

Pada majlis sama, Mohamad turut menyempurnakan penyerahan cek mock Bantuan Wang Ihsan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) Tahun 2024 berjumlah RM10,488,321.60 kepada 4,854 pesawah MADA sebagai simbolik kelulusan peruntukan kerajaan kepada pesawah-pesawah tersebut.

Bantuan ini diberikan kepada pesawah yang terjejas akibat bencana banjir di Kawasan Muda pada bulan September dan Oktober 2024 yang melibatkan kerosakan seluas 5,976.02 hektar.

Kerajaan telah memperuntukkan Wang Ihsan melalui KPKM kepada MADA bagi meringankan beban pesawah serta memberikan suntikan modal untuk aktiviti penanaman padi. Bayaran akan disalurkan terus ke dalam akaun bank pesawah pada bulan Januari 2025.

Mohamad turut menyarankan semua pesawah khususnya di Kawasan MADA dan seluruh Malaysia untuk menyertai Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) yang diperkenalkan oleh KPKM.

“Skim ini bertujuan memberi perlindungan sewaktu menghadapi risiko kerosakan tanaman padi akibat bencana alam seperti banjir, kemarau, atau ribut serta penyakit tanaman atau perosak,” ujarnya.

Melalui skim ini, pesawah dapat menerima pampasan atau bantuan kewangan apabila mengalami kerugian semasa mengusahakan penanaman padi.

Skim ini diharapkan dapat meningkatkan ketahanan dan kestabilan sektor tanaman padi di Malaysia, memberikan harapan baharu kepada pesawah untuk terus mengusahakan pertanian dengan lebih yakin dan produktif, dan menyumbang kepada kestabilan pengeluaran makanan ruji negara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com