JITRA – – Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) membantah sekeras-kerasnya penurunan harga belian padi kepada RM1300 satu tan metrik seperti yang diputuskan dalam mesyuarat pengilang-pengilang beras bersama Ketua Pengarah Bahagian Industri Padi dan Beras (IPB) baru-baru ini.
Pengerusinya PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, penetapan harga ini tidak adil dan tidak mencerminkan realiti kos pengeluaran padi yang semakin meningkat.
Menurutnya, harga padi minimum RM1300 yang ditetapkan pada tahun 2023 sudah tidak relevan kerana pelbagai kos telah meningkat dengan ketara.
“Antara kos yang meningkat termasuk kos benih padi, kos membajak dan menuai, kos sewa tanah, kos racun kimia, dan kos upah penyelenggaraan sawah.
“Selain itu, PeSAWAH juga menekankan bahawa harga kawalan beras tempatan pada RM2.60 per kg sejak tahun 2014 tidak pernah diambil perhatian serius.
“Sudah tiba masanya rakyat Malaysia menerima harga beras baru yang lebih relevan iaitu RM3.60 per kg bagi mengimbangi kenaikan kos pengeluaran padi. Langkah ini juga dapat membantu mengangkat taraf hidup pesawah yang kebanyakannya masih di bawah garis kemiskinan,” katanya pada Rabu.
Jelas Abdul Rashid, kos benih padi naik dua kali sejak 2023 dan kini mendadak kepada RM58 bagi setiap 20 kilogram (kg) daripada RM45 pada 2023.
Menurutnya, kos membajak dan menuai pula meningkat ekoran penghapusan subsidi diesel hingga memaksa pesawah menanggung kos mesin jentuai yang lebih tinggi.
Tambah beliau,, kos sewa tanah turut meningkat sejak beberapa musim kebelakangan ini dan kos racun pula melambung tinggi hingga hampir empat kali ganda berbanding dua tahun lalu termasuk kos upah penyelenggaraan sawah seperti meracun, menabur, dan membaja juga turut meningkat.
Ujar Abdul Rashid, PeSAWAH kesal dengan perbincangan penetapan harga padi yang dijalankan oleh pihak kementerian bersama para pengilang tanpa melibatkan wakil pesawah.
Menurutnya, tindakan ini menafikan suara dan hak pesawah dalam menentukan nasib mereka sendiri.
“PeSAWAH menuntut agar kerajaan mengkaji semula penetapan harga minimum padi dan mengambil kira faktor-faktor seperti kenaikan kos pengeluaran padi, pendapatan dan kebajikan pesawah, serta harga beras tempatan yang realistik.
“Jika kerajaan masih mahu mengekalkan harga beras pada RM2.60 per kg dan menurunkan harga padi kepada RM1300 per tan, kami juga menuntut agar kos benih padi sah diturunkan kepada RM28 per beg serta kos-kos lain yang berkaitan.
Jangan berhenti setakat kilang dan memaksa pesawah yang sedia miskin menanggung kos makanan ruji orang yang
lebih kaya,” katanya lagi.
Tambahnya, PeSAWAH juga menggesa agar kerajaan melibatkan wakil pesawah dalam sebarang perbincangan berkaitan dasar dan harga padi pada masa hadapan untuk mengelakkan keadaan yang lebih buruk dan menjejaskan industri padi negara.