Monday, 6, May, 2024
Utama Nasional Kerajaan tidak akan abaikan syarikat tempatan, PM Anwar

Kerajaan tidak akan abaikan syarikat tempatan, PM Anwar

oleh admin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan tidak akan mengabaikan peluang kepada syarikat tempatan meski pun peluang pelaburan diberikan kepada syarikat milik Elon Musk .

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dalam temu bual bersama CNBC menjelaskan, segala keistimewaan yang diperolehi oleh Space X dan Tesla pernah dilakukan sebelum ini terutama pelaburan melibatkan IT.

“Ini bukan perkara baharu. Ia telah diberikan kepada transformasi digital, untuk aktiviti dan pelaburan melibatkan IT.

“Kami telah lakukan sebelum ini, ia sangat selektif, ia bukan hanya untuk Elon Musk yang saya rasakan satu keperluan untuk memberikan keyakinan dan penglibatan negara ini.

“Yang menarik mengenai Space X, terdapat tiga syarikat tempatan terlibat,” katanya.

Mengulas lanjut, perdana menteri menjelaskan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berpendapat kaedah yang digunakan itu lebih menguntung biarpun tidak mempunyai ekuiti.

Jelas beliau, syarikat-syarikat tempatan diberikan peluang untuk mengeluarkan bateri atau bahagian lain yang diperlukan Tesla dan Space X.

“Agak pramatang untuk saya nyatakan kerana mereka sedang mengusahakannya tetapi apa yang penting kami mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan bateri atau bahagian lain yang diperlukan oleh kereta.

“MITI melihat secara keseluruhan proposal tersebut, adalah lebih menguntungkan berbanding 20 hingga 30 peratus ekuiti, itu yang kami lihat.

“Begitu juga dengan Geely-Proton, kerana terdapat bekalan peralatan. Seperti yang saya kata mengenai Space X, terdapat 3 pemain utama di sini.

“Jika Space X ingin beroperasi di sini tanpa sebarang ekuiti, saya berpendapat ia bukan masalah kerana kami mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan alat ganti untuk Space X,” katanya lagi.

Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc, Elon Musk telah mengadakan perbincangan dengan perdana menteri berhubung pelaburannya di negara ini.

Dalam perbincangan tersebut, Musk dilaporkan menyatakan komitmennya untuk membuka ibu pejabat syarikat berkenaan di Cyberjaya tahun ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com