ALOR SETAR –Seorang kanak-kanak lelaki autisme berusia tujuh tahun dilaporkan hilang berhampiran rumahnya di Taman Tunku Tabor, Jalan Gangsa pada malam Jumaat.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, satu panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 7.30 malam.
Menurutnya, sepasukan 11 anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikerahkan ke lokasi dan tiba pada 7.35 malam.
“Berdasarkan maklumat ibu mangsa, pakaian serta kasut kanak-kanak tersebut ditemui di tepi longkang kira-kira 200 meter dari rumahnya.
“Longkang tersebut besar dan berkedalaman antara satu hingga 1.5 meter serta mempunyai saliran yang bersambung hingga ke Sungai Kedah di belakang Muzium Negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Ahmad Aminuddin, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilakukan oleh anggota mereka dengan bantuan dari PDRM untuk mengesan di sekitar kawasan kejadian.
Menurutnya, perkembangan mengenai operasi tersebut akan disalurkan dari semasa ke semasa.