Friday, 3, May, 2024
Utama Negeri MoA UUM, UiTM, UniSHAMS, LZNK kukuhkan kajian zakat

MoA UUM, UiTM, UniSHAMS, LZNK kukuhkan kajian zakat

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Kerjasama empat penjuru antara Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengukuhkan lagi penyelidikan mengenai zakat, sekali gus mengukuhkan agenda pembangunan ummah.

Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara empat institusi itu telah diadakan di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam, baru-baru ini.

MoA atau Research Collaboration Agreement yang ditandatangani UUM bersama UiTM, UniSHAMS dan LZNK ini melibatkan kerjasama penyelidikan yang dijalankan oleh penyelidik dari keempat-empat buah organisasi di mana mereka akan menganalisis fatwa-fatwa zakat Negeri Kedah daripada perspektif Maqasid Al-Shariah dan Fiqh Al-Waqi.

Penyelidik akan membuat kajian mengenai fatwa zakat yang diguna pakai dari segi tatacara dan kaedah membuat sesuatu hukum. Kajian ini dilaksanakan bagi memastikan objektif perundangan zakat tercapai dan kebajikan masyarakat benar-benar terjamin serta terpelihara.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pemeteraian MoA itu mengukuhkan lagi kolaborasi sedia terjalin kerana UUM melalui Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) telah memainkan peranannya.

Menurutnya, tujuan utama MoA ini adalah untuk mengukuhkan kerjasama penyelidikan melalui Geran Kerjasama Penyelidikan UUM 1+3 (Geran 1+3) yang dilaksanakan oleh IPIZ dan penyelidik daripada UiTM, UniSHAMS dan LZNK.

Geran Kerjasama Penyelidikan UUM 1+3 (Geran 1+3) merupakan kerjasama projek penyelidikan di antara universiti utama iaitu UUM sebagai induk dengan sekurang-kurangnya tiga universiti dan industri atau agensi dalam setiap projek.

Dr. Mohd Foad berkata, penawaran Geran 1+3 ini adalah selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang digariskan dalam Malaysia Research Assessment Instrument (MyRA I) bagi Seksyen G: Jaringan dan Jangkauan bagi tujuan universiti induk (UUM) dapat menjalankan kerjasama secara 4 penjuru.

“MoA ini secara dasarnya akan bertindak sebagai rangka kerja am bagi usaha sama dan kolaborasi dalam bidang akademik, penyelidikan, dan perkongsian kepakaran. Usaha ini adalah selaras dengan aspirasi UUM untuk menggerak dan mengaktifkan lagi jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Saya melihat segala usaha kerjasama ini adalah relevan dalam mengukuhkan lagi agenda pembangunan ummah, seterusnya akan memberikan impak yang positif dalam perkembangan akademik, penyelidikan dan perkongsian kepakaran secara global,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Russayani Ismail.

MoA tersebut telah dtandatangi Dr. Mohd Foad mewakili UUM, manakala UiTM diwakili Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd Janor; UniSHAMS diwakili Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim dan LZNK oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Syeikh Zakaria Othman.

Sementara itu, Dr. Roziah dalam ucapan aluannya berkata, mana-mana universiti perlu berkolaborasi untuk bersama-sama mengorak langkah ke hadapan melalui kerjasama dengan industri.

“Tidak ada satu universiti pun, tidak kira betapa besarnya ia, akan mampu menghadapi cabaran masa depan dengan sendirinya, tambahan dalam era globalisasi dan saling bergantung ini, kerana perkongsian kerjasama dengan institusi akademik dan pemain industri bukanlah satu pilihan tetapi satu keperluan.

“Saya percaya kerjasama yang terjalin seperti hari ini, akan menyumbang kepada wahana yang lebih besar yang dapat menyediakan pendidikan berkualiti kepada pemegang taruh, sejajar dengan aspirasi kami ke arah menjadi univerisiti yang dikenali dunia menjelang tahun 2025,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com