Wednesday, 15, January, 2025
Utama Negeri Kedah cadang wajibkan penggunaan tulisan jawi pada papan iklan

Kedah cadang wajibkan penggunaan tulisan jawi pada papan iklan

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR- Kerajaan Negeri Kedah bercadang mewajibkan penggunaan tulisan jawi sebagai tulisan kedua selepas rumi pada setiap papan iklan dan papan tanda di negeri ini.

Menurut Exco Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Mansor Zakaria, walaubagaimanapun, bahasa lain juga boleh digunakan sebagai tulisan ketiga pada papan iklan.

“Namun bagi penggunaan gambar wanita yang mencolok mata adalah tidak dibenarkan.

“Kita akan melarang papan iklan daripada menggunakan gambar atau visual bahan larangan, berbaur hasutan, berbaur perkauman, serta memaparkan senjata berbahaya,” katanya pada Selasa.

Mansor berkata lagi, usaha ini adalah salah satu langkah untuk memartabatkan tulisan jawi seiring dengan undang-undang kecil negeri yang menggalakkan penggunaannya.

“Kedah sudah mempunyai undang-undang kecil yang menggalakkan penggunaan tulisan jawi.

“Ini bermakna semua papan iklan digalakkan menggunakan tulisan jawi sebagai tulisan kedua,” ujarnya.

Tambah beliau, cadangan ini juga akan dikuatkuasakan pada papan iklan dan iklan di premis yang berada di bawah kawalan pihak berkuasa tempatan (PBT).


Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com