Sunday, 19, January, 2025
Utama Negeri Bantuan Ihsan Madani KPT-UUM : 100 bakul makanan buat Keluarga B40 di Kuala Kedah

Bantuan Ihsan Madani KPT-UUM : 100 bakul makanan buat Keluarga B40 di Kuala Kedah

oleh Ammar Haziq

KUALA KEDAH – Sebanyak 100 bakul makanan disumbangkan kepada keluarga B40 dan miskin tegar di kawasan Kuala Kedah melalui Program Bantuan Ihsan Madani KPT-UUM.

Program ini dijayakan hasil kerjasama antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Datuk Haji Abdul Muthalib Harun, Ahli Lembaga UUM Holdings Sdn Bhd, bertujuan meringankan bebanan golongan yang memerlukan.

Majlis penyerahan sumbangan tersebut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed mewakili Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, pegawai dari Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT), serta mahasiswa UUM yang turut terlibat dalam menjayakan program tersebut.

Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dilaksanakan untuk membantu komuniti setempat, terutama keluarga yang terjejas akibat keadaan ekonomi yang mencabar.

Menurut Ahmad Martadha, program ini bukan sahaja bertujuan untuk memberikan bantuan segera tetapi juga untuk membincangkan peluang kerjasama yang lebih besar antara UUM dan komuniti setempat.

Abdul Muthalib menyatakan harapannya agar sumbangan ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepada penerima.

Beliau turut menyuarakan hasrat untuk meneruskan kerjasama dengan UUM dalam pelbagai program yang lebih menyeluruh pada masa hadapan.

Dalam sesi perbincangan yang diadakan selepas majlis penyerahan sumbangan, beberapa cadangan turut dikemukakan, termasuk penyediaan kelas tutor bagi anak-anak nelayan dan petani untuk mempertingkatkan pendidikan mereka dan seterusnya mengubah masa depan mereka.

Kerjasama ini diharap dapat memberi impak yang lebih besar kepada komuniti dalam meningkatkan taraf hidup dan membuka peluang pendidikan yang lebih baik kepada golongan yang memerlukan.

Program Bantuan Ihsan Madani ini adalah salah satu daripada banyak usaha UUM dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat setempat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com