Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri Inspektor parah, koperal cedera dilibas pisau ‘paper cutter’

Inspektor parah, koperal cedera dilibas pisau ‘paper cutter’

oleh Ammar Haziq

KULIM – Dua anggota polis cedera akibat dilibas dengan pisau oleh seorang lelaki semasa cuba menangkapnya berkaitan kes curi di sebuah rumah di Taman Selasih, dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, pegawai bersama seorang anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim tiba di rumah terbabit pada jam 10.40 pagi.

Menurutnya, dua anggota polis itu memperkenalkan diri sebelum suspek naik berang dan berlaku pergelutan ketika menangkapnya.

“Secara tiba-tiba suspek telah mengeluarkan pisau ‘Paper Cutter’ (pisau pemotong kertas) dan menghayun mengenai dada pegawai berpangkat Inspektor sehingga mengalami kecederaan parah.

“Manakala seorang lagi Koperal mengalami kecederaan di kaki selepas terkena libasan pisau,” katanya dihubungi pemberita pada Selasa.

Jelas Mohd Redzuan, Inspektor berkenaan mengalami kecederaan parah menerima 36 jahitan akibat kesan torehan yang dalam di dada dan dikejarkan ke Hospital Kulim dan anggota berpangkat koperal dikejarkan ke sebuah klinik swasta dan telah menerima lima jahitan di kaki kiri.

Menurutnya, ekoran kejadian itu polis telah menahan suspek berusia 81 tahun dan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama 20 tahun dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam pasaraya dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman 10 tahun dan denda,” ujar beliau lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com