Tuesday, 15, April, 2025
Utama Mahkamah & Jenayah Mahkamah tolak permohonan peguam cabar SKMM sekatan hantaran FB

Mahkamah tolak permohonan peguam cabar SKMM sekatan hantaran FB

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR –  Seorang peguam gagal mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung sekatan yang dikenakan terhadap hantarannya di Facebook pada tahun lalu.

Berdasarkan laporan FMT, permohonan Shamsher Singh Thind yang mahu membatalkan permintaan pentadbiran yang menyebabkan pengguna media sosial di Malaysia disekat daripada mengakses hantaran tersebut yang dimuat naik pada Mei 2024 ditolak Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Berdasarkan permohonannya, Shamsher mendakwa SKMM telah mencabul kebebasan bersuara dan meminta mahkamah mengisytiharkan tindakan oleh SKMM sebagai tidak sah.

Beliau juga mahu SKMM menggugurkan “arahan” menyekat hantaran tersebut kepada Facebook.

Hakim Anand Ponnudurai dalam keputusannya memutuskan tindakan SKMM bukanlah satu “keputusan” yang boleh disemak oleh mahkamah.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat oleh Facebook dan SKMM hanya mengeluarkan permohonan untuk tindakan sekaligus suruhanjaya tersebut tidak boleh tertakluk kepada semakan kehakiman.

Anand berkata, platform media sosial mempunyai kuasa mutlak dalam mengawal kandungan, walaupun apabila digesa oleh pihak pengawal selia seperti SKMM.

Ulasnya, Shamsher gagal mengemukakan kes yang boleh dipertikai untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman.

Shamsher dalam hantarannya sebelum ini cuba mengaitkan pemberian kontrak kerajaan dengan suami seorang Menteri Kabinet, yang mencetuskan perdebatan sengit dalam talian.

Beliau mendakwa Facebook kemudian menyekat siaran itu daripada dilihat dalam negara selepas “penilaian undang-undang dan hak asasi manusia.”

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com