Wednesday, 8, May, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah Dakwa diugut : Ustaz Husam lapor polis Zamil, Muhammad Mukhlis

Dakwa diugut : Ustaz Husam lapor polis Zamil, Muhammad Mukhlis

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Pendakwah bebas, Ahmad Husam Muhamad Baderudin membuat laporan polis berhubung dakwaan diugut melalui satu konspirasi yang didalangi dua orang kuat bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ahmad Husam membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu pada Jumaat lalu terhadap pegawai khas kepada Najib, Muhammad Mukhlis Maghribi dan bekas Presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA), Zamil Ibrahim.

Melalui laporan polis berkenaan, Ahmad Husam mendakwa Zamil telah berjumpa dengan seorang bapa saudaranya bertujuan memfitnahnya selain cuba memeras ugutnya.

“Pak Ndak telah menunjukan kepada Ssya Whatsapp yang dihantar oleh Zamil kepada beliau yang mana saya difahamkan bahawa whatsapp itu telah dihantar oleh Mukhlis yang di dalam Whatsapp itu jelas menujukan beliau memeras ugut saya bagi memenuhi kehendak mereka di antara ugutan beliau adalah jika kehendak mereka tidak dipenuhi beliau akan mengarahkan AMLA PDRM untuk menyiasat saya.

“Perkara ini sebenarnya sudah bermula sekitar Mei 2023 ketika mana Mukhlis menghubungi saya bahawa beliau kononnya telah dihubungi oleh pihak polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman untuk menyiasat yang kononya kes yang melibatkan saya berkaitan dengan AMLA dan beliau menyatakan bahawa kononya dua pegawai Polis tersebut telah meminta wang penyelesaian kes sebanyak RM 400,000.

“Saya enggan mengikut apa permintaan mereka itulah saya terus diganggu sehingga sekarang.

“Bukti serta segala rakaman perbualan telefon di antara saya Muhammad Mukhlis juga telah diserahkan kepada polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Husam berkata laporan polis dibuat kerana ugutan berkenaan telah memberi ancaman serta ketakutan kepada dirinya dan keluarga.

Pada 27 Disember tahun lalu, Ahmad Husam memfailkan saman fitnah RM5 juta ke atas empat individu di Mahkamah Tinggi Alor Setar sabit kenyataan memfitnahnya yang dikeluarkan sebelum ini.

Ahmad Husam menamakan empat individu iaitu Muhammad Mukhlis, Zamil Ibrahim serta dua lagi individu Ku Muhammad Khairul Amzad Ku Ahmad dan Mohd Fairus Shaari@Mohd Fazil yang didakwa bersekongkol memfitnah Ahmad Husam.

Mengikut writ yang dikemukakan, saman berkenaan difailkan melalui firma guaman Tetuan Zain Megat & Murad pada 14 Disember lalu, selepas notis tuntutan yang dikeluarkan pada 13 November lalu, tidak mendapat respon daripada individu berkaitan.

Peguam, Muhammad Asyraf Abd Aziz yang mewakili Ahmad Husam selaku plaintif mendakwa, Mukhlis menerbitkan satu hantaran di laman Instagram beliau iaitu ‘sesiapa nak tgk Ustz Scammer boleh pi standby kat Mahkamah Kangar esok (22/6/23) pagi, lebih kurang pukul 8.30am’.

Katanya, Zamil kemudian menulis dan menerbitkan pelbagai kenyataan fitnah antaranya melalui satu video yang dimuat naik di Facebooknya dengan menuduh Ahmad Husam kononnya sebagai penipu, menyalahgunakan wang derma orang ramai dan wang zakat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com