Thursday, 30, January, 2025
Utama Nasional Rakyat sambut baik usaha PM bangunkan semula Gaza

Rakyat sambut baik usaha PM bangunkan semula Gaza

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangunkan semula Gaza disambut baik rakyat bagi membantu negara itu bangkit semula selepas 15 bulan berdepan serangan Israel.

Menurut bekas guru, Norhasyima Ilias, 62, bantuan itu diharap dapat disegerakan terutama dalam memberi pelindungan kepada wanita, kanak-kanak dan warga emas yang sebelum ini melalui pengalaman hitam dibantai rejim Zionis.

Katanya, dia yakin Perdana Menteri dapat memainkan peranan untuk menyegerakan usaha itu sekali gus ia akan menjadi contoh kepada negara Islam lain dalam membantu membangunkan kembali Palestin.

“Kita bersyukur kerana Perdana Menteri kita antara yang kedepan dalam isu Palestin, banyak yang perlu diberi perhatian dalam soal membangunkan kembali negara itu.

“Selain kerajaan, kita juga sebagai rakyat perlu bersama-sama membantu untuk memastikan saudara Islam kita di sana terus kuat dan bersemangat untuk kelangsungan hidup mereka. Biar mereka tahu bahawa mereka tidak kesorangan,” katanya ketika dihubungi.

Bagi Khairuddin Othman, 29, dia sentiasa mengikuti perkembangan di Palestin malah turut gembira apabila sebahagian penduduk sudah kembali ke tempat asal mereka.

“Bagus usaha Perdana Menteri untuk bantu mereka, penderitaaan mereka sudah cukup lama, apabila sekolah, hospital dan masjid dapat dibina nanti, penduduk Gaza akan kembali menjalani rutin harian mereka walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

“Sekurang-kurangnya kita ikhtiar untuk membantu pada peringkat awal, saya yakin selepas ini lebih banyak kemudahan dan bangunan lain akan dibina hasil bantuan kerajaan dan rakyat Malaysia,” katanya yang merupakan seorang peniaga.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumunkan akan melaksanakan program pembangunan semula Gaza dan Palestin atas usaha bersama Kerajaan Jepun dan Malaysia.

Katanya, hasrat itu akan direalisasikan dengan menubuhkan dan melancarkan dana melalui kegiatan Asia Timur iaitu program Asia Timur untuk Membangunkan Gaza (Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).

Serangan Israel sejak Oktober 2023 telah meragut sekurang-kurang 46,913 nyawa di Gaza, termasuk wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan wilayah itu – angka yang dianggap sebagai boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com