Friday, 31, January, 2025
Utama Nasional “Bukan sahaja gantung bendera, Palestin kini di fasa pemulihan”

“Bukan sahaja gantung bendera, Palestin kini di fasa pemulihan”

oleh Ammar Haziq

FOTO FRANCE 24 ENGLISH

ALOR SETAR – “Kita sekarang di fasa bukan sekadar menggantung bendera Palestin tapi bersedia untuk membantu saudara seIslam kita yang mula berada di fasa pemulihan,” kata Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman.

Menurutnya, Malaysia bakal mencipta sejarah sebagai negara ASEAN pertama yang melancarkan Projek Bandar Wakaf bagi membangunkan semula Gaza selepas Ramadan nanti.

“Inisiatif ini adalah komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di peringkat global.

“Langkah ini menonjolkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang dihormati masyarakat antarabangsa.

“Projek ini bukan sahaja membantu membina semula Gaza, tetapi juga mempromosikan model wakaf yang unik dan inovatif,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Syed Ahmad berkata, dana bantuan ini diperoleh daripada dana bebas dan sumbangan sektor korporat, menunjukkan kepercayaan tinggi pelbagai pihak terhadap kemampuan dan keikhlasan Malaysia.

Jelasnya, lrojek ini mencerminkan Malaysia Madani yang menjunjung nilai kemanusiaan sejagat dan solidariti bersama rakyat Palestin dan Malaysia bersedia membantu saudara seIslam di Gaza yang berada di fasa pemulihan.

“Semua rakyat Malaysia perlu menyokong penuh inisiatif ini. Jangan terpengaruh dengan segelintir pihak yang mungkin iri hati terhadap pengiktirafan yang diterima oleh Perdana Menteri serta memperlekehkan usaha murni ini. 

“Sebagai rakyat yang bijaksana, kita harus mengenepikan polemik dan menyokong usaha yang membawa manfaat kepada umat sejagat.

“Projek Bandar Wakaf ini adalah bukti nyata keprihatinan dan kepimpinan Malaysia di mata dunia. 

“Dengan pembinaan Masjid Berkembar Shah Alam, Apartmen Wakaf Selangor, dan Sekolah Malaysia di Gaza, ia bukan sahaja menyediakan keperluan asas kepada rakyat Palestin tetapi juga memberi harapan baharu untuk masa depan mereka,” ujarnya.

Syed Ahmad menggesa semua pihak, termasuk rakyat biasa, sektor swasta, dan NGO, untuk bersama-sama menyokong projek ini dengan keyakinan bahawa tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com