Friday, 21, February, 2025
Utama Negeri Kemalangan di Thailand perlu jadi pengajaran, carum insurans sesuai sebelum ke sana

Kemalangan di Thailand perlu jadi pengajaran, carum insurans sesuai sebelum ke sana

oleh Ammar Haziq

KUBANG PASU – Rakyat Malaysia yang mahu bercuti ke Thailand dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mencarum pakej insurans yang sesuai sekiranya berlaku kemalangan yang tidak diingini di negara jiran tersebut.

Pengarah Urusan GoThai My Sdn. Bhd, Mohd Shafiq Johari, 42, berkata berdsasarkan statistik oleh pihaknya, terdapat lapan kes kemalangan dilaporkan berlaku dalam masa sehari di Thailand melibatkan rakyat Malaysia yang membawa kenderaan ke sana.

Menurutnya, pakej insuran yang sesuai perlu dipertimbangkan sebelum memasuki negara berkenaan untuk bercuti ke negara berkenaan.

“Ramai antara mereka terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk membayar ganti rugi kepada mangsa kemalangan kerana tidak mencarum insurans tambahan seperti ‘voluntary insurance’ dan insurans pelancong,” katanya ketika ditemui di pejabat urusannya di Napoh, dekat ini.

Jelasnya, kebanyakan rakyat Malaysia yang tinggal di negeri bersempadan dengan Thailand, cenderung mengambil insurans wajib sahaja kerana menganggapnya tidak penting selain sudah biasa ke sana.

Menurutnya lagi, insurans wajib hanya menanggung bil rawatan hospital dan tidak memberi perlindungan kepada kerosakan kenderaan pihak ketiga, ikat jamin polis, dan lain-lain isu.

“Beberapa kes kemalangan di Thailand wajar dijadikan pengajaran oleh rakyat Malaysia. Ada kes rakyat kita yang motosikalnya bergesel sedikit dengan motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson, akhirnya terpaksa bayar kepada pemilik motosikal sebanyak RM3,000.

“Ada juga yang melanggar mati warga Thailand dan hanya mengambil insurans wajib, akhirnya perlu bayar pampasan kira-kira RM70,000 kepada waris si mati,” ujar beliau yang mempunyai 20 tahun pengalaman dalam bidang takaful dan insurans ke Thailand.

Tambahnya, antara punca kemalangan rakyat Malaysia di Thailand adalah terlelap ketika memandu.

“Ramai pemandu dari selatan semenanjung termasuk Kuala Lumpur memandu terus tanpa rehat hingga ke Thailand. Apabila sampai di sana, badan sudah terlalu letih dan akhirnya berlaku kemalangan.

“Ada juga kes serangan jantung dan meninggal dunia, termasuk yang perlu dirawat di hospital di Thailand,” katanya lagi.

Beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia supaya lebih bertolak ansur dan bertimbang rasa ketika memandu di Thailand kerana budaya dan undang-undang jalan raya di sana berbeza daripada di Malaysia.

“Jika berada di persimpangan jalan, jika ada kenderaan lain seperti treler, lebih baik beri laluan kepada mereka dahulu walaupun kita berada di laluan yang benar.

“Di sana, lebih mengutamakan perasaan bertimbang rasa. Contohnya, apabila tiba di simpang jalan, tak boleh pecut laju walaupun lampu hijau, semua perlu berhati-hati,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com