Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri UUM terima kemasukan 3,879 pelajar baharu semester pertama sesi 2023/2024

UUM terima kemasukan 3,879 pelajar baharu semester pertama sesi 2023/2024

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kemasukan 3,879 pelajar baharu terdiri pelajar tempatan dan antarabangsa yang akan mengikuti 48 program pengajian Sarjana Muda bagi sesi 2023/2024.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan berkata, daripada jumlah itu, 3,773 orang adalah pelajar tempatan yang merupakan lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma, Matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), manakala 106 lagi adalah pelajar antarabangsa.

Menurutnya, pecahan terbesar bagi pelajar tempatan yang mendaftar adalah daripada ambilan melalui UPU seramai 3,556 orang dan  Lepasan Asasi Pengurusan UUM seramai 217 orang.

“Pada kemasukan kali ini, UUM menerima 2,778 pelajar perempuan dan 1,101 adalah pelajar lelaki.

“Pecahan kemasukan pelajar antarabangsa melibatkan 55 pelajar bagi  peringkat Sarjana Muda dari Indonesia seramai 46 orang, China (2), Nigeria (2) dan Thailand (2), manakala masing-masing satu (1) bagi Somalia, Yeman dan Libya,” katanya.

Ujarnya, 51 pelajar mobiliti pula adalah dari Indonesia seramai 27 orang, China (23) dan Jepun (1).

Menurutnya, bagi tawaran program pengajian pula, program Sarjana Muda Perakaunan Dengan Kepujian menerima kemasukan terbesar seramai 283 pelajar, diikuti Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Dengan Kepujian (209) dan Sarjana Muda Sains Ekonomi Dengan Kepujian (188).

“Program Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian dan Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) dengan Kepujian masih mengekalkan CGPA masuk 4.00 bagi lepasan STPM/Matrikulasi,” jelasnya.

Tambahnya, seperti tahun sebelum ini, UUM turut menawarkan tempat kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) dari pelbagai kategori seramai 12 orang, pelajar Orang Asli (7) dan lima pasangan kembar yang masing-masing mengikuti program pengajian Sarjana Muda Perakaunan, Sarjana Muda Pengurusan Acara, Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dan Sarjana Muda Kaunseling.

Keseluruhan, sehingga 8 Oktober 2023, jumlah pelajar UUM adalah seramai 31,454 orang iaitu 25,923 bagi peringkat pengajian sarjana muda dan 5,531 bagi pascasiswazah.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com