KUBANG PASU – Lapan lelaki warganegara Myanmar gagal meloloskan diri ke negara ini apabila ditahan anggota tentera darat semasa membuat rondaan di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd) di jalan utama dari Padang Sanai menuju ke Sintok, di sini.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia dalam kenyataan berkata, mereka berjaya ditahan pada jam 7.22 malam pada Sabtu lalu semasa sedang bersembunyi di dalam longkang.
“Pasukan beroperasi yang sedang melaksanakan rondaan telah mengesan sekumpulan PATI sedang bersembunyi di dalam longkang di jalan utama dari Padang Sanai menuju ke Sintok.
“Pasukan beroperasi segera bertindak menahan kumpulan PATI tersebut.
“Hasil siasatan mendapati kesemua PATI adalah lapan orang lelaki dewasa berumur antara 19 hingga 48 tahun. Mereka dipercayai telah memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak sah bagi mencari peluang pekerjaan,”katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Jelasnya, pihak berkuasa turut merampas adalah sejumlah wang tunai dan 8 buah telefon bimbit dengan anggaran keseluruhan nilai barang rampasan adalah sebanyak RM 5,352.31.
Menurutnya, semua PATI diserahkan ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan selanjutnya.
“TDM akan terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan khususnya melibatkan PATI,” ujarnya.