Thursday, 9, May, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah Wang simpanan ASB, Tabung Haji bernilai RM692,500 lesap akibat  ‘phone scam’.

Wang simpanan ASB, Tabung Haji bernilai RM692,500 lesap akibat  ‘phone scam’.

oleh Ammar Haziq

KOTA BHARU – Seorang peniaga berputih mata apabila wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji miliknya berjumlah RM692,500 lesap selepas menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Dalam kejadian dua minggu lalu, lelaki berusia 38 tahun itu memindahkan wang tersebut ke akaun ketiga selepas diperdaya sindiket ‘phone scam’.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata,, kejadian bermula pada 28 Januari  semasa  mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa dari Komunikasi Digital, Putrajaya memaklumkannya terlibat penipuan wang haram dan penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai Asisten Komisioner Ismail dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar, Perlis sebelum diminta memuat turun satu aplikasi yang dikatakan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

“Mangsa diarah mendaftar melalui aplikasi itu dan mengisi maklumat diri termasuk dua akaun bank miliknya,” katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Muhammad Zaki berkata, pada 30 Januari lalu, lelaki itu kemudiannya memindahkan wang sebanyak RM300,000 daripada akaun ASB ke salah satu akaun bank miliknya.

Tambahnya, pada 4 Februari, mangsa memindahkan sebanyak RM400,000 dari Tabung Haji ke dua akaun bank miliknya,” katanya.

Muhamad Zaki memberitahu, dua hari kemudian, sindiket itu melakukan pemindahan wang milik mangsa ke akaun sebuah bank secara berperingkat.

“Mangsa membuat semakan terhadap akaun sebuah banknya dan mendapati wangnya telah hilang sebelum bertindak menyekat semua akaun bank miliknya,” katanya.

“Polis sedang melakukan siasatan ke atas penyata akaun bank terlibat. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com