Thursday, 20, February, 2025
Utama Nasional Maritim bakal terima kapal induk baharu buatan Turkiye

Maritim bakal terima kapal induk baharu buatan Turkiye

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Turkiye, HE Recep Tayyip Erdogan telah menyaksikan Majlis Penyerahan Surat Prapenerimaan (Pre Acceptance Letter) bagi perolehan satu unit kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS).

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini, kapal itu akan diserahkan untuk kegunaan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Katanya, majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Awang Alik Jeman dan pihak Turkiye diwakili Pengerusi Lembaga Desan Shipyard Cenk Ismail Kaptanoglu di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya semalam.

Kapal itu dilengkapi spesifikasi canggih, MPMS mampu beroperasi selama 30 hari tanpa henti, selain lengkap dengan aset moden iaitu empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV) serta mempunyai, deck pendaratan helikopter, fasiliti perubatan dan pusat tahanan.

“Kapal berukuran 99 meter panjang yang boleh membawa 70 kru dan 30 penumpang ini, akan memberi tumpuan kepada pengawasan di Laut China Selatan khususnya dalam menangani pencerobohan vesel asing, aktiviti penangkapan ikan haram serta membanteras jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

“Kapal akan turut dilengkapi dengan senjata utama iaitu satu unit 30mm gun dan senjata sekunder iaitu dua unit 12.7mm. Enjin yang akan digunakan ialah dua unit High Speed Engine berjenama MAN dan jenama yang sama juga akan digunakan untuk generator,” katanya.

Kenyataan itu berkata perolehan kapal MPMS ini diharapkan dapat menambah kesiapsiagaan aset-aset APMM ketika melaksanakan tugas pengawalan, pelindungan dan penyelamatan di Zon Maritim Malaysia dengan cemerlangnya.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail,
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, Setiausaha Bahagian Perolehan KDN, Datuk Nor Muhammad bin Che Dan@ Che Din.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com