KULIM – Seorang pekerja kilang berstatus suami orang dicekup bersama seorang juru jual dalam serbuan oleh Pejabat Agama Daerah Kulim sekitar daerah ini pada jam lebih kurang 1.20 pagi pada Rabu.
Semasa serbuan dilakukan, wanita berusia 32 tahun itu hanya memakai tuala manakala lelaki tersebut yang berusia 37 tahun pula tidak memakai baju.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad, berkata, kedua-dua mereka telah mengaku berkenalan melalui media sosial lebih kurang setahun yang lalu.
“Lelaki itu dikatakan tiba di rumah wanita tersebut pada jam 10.45 malam dengan alasan menghantar wanita itu pulang dari kerja.
“Ketika pintu dibuka, wanita tersebut hanya memakai tuala manakala lelaki tersebut bersembunyi di sebalik langsir tingkap dengan hanya memakai seluar,” katanya.
Menurut Anwar, lelaki itu dipercayai telah beberapa kali ke rumah wanita tersebut ketika ibu bapa wanita itu tiada di rumah.
Dia turut memberi alasan berhadapan masalah rumah tangga di mana isterinya telah lari bersama lelaki lain.
Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.
Jika sabit kesalahan, pasangan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.