Friday, 3, May, 2024
Utama Negeri UUM ke-27 terbaik Asia

UUM ke-27 terbaik Asia

oleh Ammar Haziq
Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB). Gambar kecil Ahmad Bashawir.

Sintok: Buat pertama kalinya Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) disenaraikan dalam QS World University Rankings (QSWUR): Global MBA 2021 dengan berada di kedudukan ke-201+, sekali gus meletakkan UUM di tangga ke-27 terbaik di Asia.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, hasrat UUM untuk menjadikan OYAGSB sebagai Top Business School menjelang 2025 semakin menjadi kenyataan dengan tersenarainya dalam QSWUR tersebut.

“Sesungguhnya saya bangga dan gembira di atas penyenaraian OYAGSB di dalam ranking antarabangsa yang mana secara tidak langsung telah mengiktiraf sekolah siswazah itu di persada dunia.

“OYAGSB mempunyai nama dan kualiti yang tersendiri, justeru saya yakin ia mampu membawa nama UUM ke satu tahap yang lebih tinggi lagi,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian ini adalah satu hasil yang sangat hebat dan ia disebabkan usaha keras seluruh warga UUM, khususnya OYAGSB sendiri untuk meletakkan diri mereka di tahap membanggakan ini.

Menurutnya, beliau berharap momentum itu dapat diteruskan dan dikekalkan agar UUM terus melangkah ke hadapan dan dapat merealisaikan misi untuk memastikan OYAGSB berstatus Triple Crown, selain Top Business School.

“Saya juga mahu melihat OYAGSB bersama-sama UUM Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) dan PACE bergerak seiring agar cita-cita untuk menjadikan UUMKL sebagai Crown Jewel UUM menjadi kenyataan.

“Impian ini sudah pasti akan terlaksana setelah OYAGSB berjaya memperoleh AACSB dan AMBA, seterusnya EQUIS menjelang 2025,” katanya.

Penilaian QSWUR: Global MBA 2021 mengguna pakai lima (5) indikator yang dikategorikan dalam lima kategori utama iaitu Employability, Return on Investment, Entrepreneurship & Alumni Outcomes, Thought Leadership dan Class & Faculty Diversity.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com