Thursday, 20, February, 2025
Utama Nasional Ekonomi ASEAN tidak hilang ngauman sebaliknya semakin berkembang

Ekonomi ASEAN tidak hilang ngauman sebaliknya semakin berkembang

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Ekonomi ASEAN tidak hilang ngauman sebaliknya ia berkembang menjadi model pertumbuhan yang lebih tepat, bernilai tinggi dan mampan.

Profesor Pengajian ASEAN Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Phar Kim Beng dan CW Sim berkata sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia berada dalam kedudukan unik untuk memimpin transformasi ini.

Katanya Malaysia mesti menjadi pemimpin ekonomi ASEAN, bukan sekadar pengikut.

“Ini bukan hanya tentang kepentingan negara, tetapi juga bagaimana pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menunjukkan kepimpinan ekonomi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) 2026.

“Pada 2025, dunia akan memerhati ASEAN dan arah tuju ASEAN akan ditentukan oleh kepimpinan Malaysia.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia mempunyai peluang unik untuk mentakrifkan semula kepimpinan ekonomi serantau dan kedudukan global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Kim Beng berkata
industri semikonduktor Malaysia adalah tunjang utama rantaian bekalan global.

Katanya, pembahagian peranan serantau dalam ASEAN sudah jelas iaitu Thailand mendahului dalam pembuatan automotif, Vietnam adalah hab utama pemasangan elektronik dan Indonesia menguasai rantaian bekalan nikel dan bateri.

“Manakala Malaysia adalah peneraju pembuatan teknologi tinggi dan semikonduktor serantau.

“Pada 2023 sahaja, ASEAN menarik lebih daripada $150 bilion pelaburan langsung asing (FDI mengatasi India, Amerika Latin, dan Afrika,” jelas beliau.

Beliau turut yakin ASEAN tidak tertekan dengan China sebaliknya China semakin bergantung kepada ASEAN

“Henny Sender mendakwa ASEAN sedang bergelut akibat persaingan China. Hakikatnya, China semakin bergantung kepada pasaran ASEAN. Pada 2024, pelaburan China di ASEAN meningkat lebih 30 peratus terutamanya dalam pengeluaran EV (kenderaan elektrik), teknologi bateri, dan kewangan digital.

“Syarikat seperti BYD dan NIO membuka hab pengeluaran di ASEAN, mengesahkan status rantau ini sebagai destinasi pembuatan global yang baharu.

“Pergantungan perdagangan China terhadap ASEAN mencapai tahap tertinggi 24 peratus tahun lalu melebihi pergantungannya kepada AS, Jepun, dan EU,” katanya.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025 beliau berkata Malaysia bukan sahaja perlu menerajui kebangkitan ekonomi ASEAN tetapi juga memastikan dirinya menjadi penggerak utama.

Berikut adalah tiga keutamaan strategik bagi pentadbiran Pendant Menteri iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ): Model “Shenzhen-Hong Kong” ASEAN

Katanya Malaysia dan Singapura perlu memperkukuh integrasi industri, dengan JS-SEZ sebagai hab utama pelaburan global dan dianggarkan mampu menarik sekurang-kurangnya $20 bilion pelaburan pembuatan baharu menjelang 2026, mewujudkan rantaian bekalan industri rentas sempadan terbesar di ASEAN.

Kedua katanya adalah dana Pelaburan Tenaga ASEAN-GCC dengan menggerakkan modal Timur Tengah ke ASEAN.

“Pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025, Malaysia harus mempelopori penubuhan “Dana Pelaburan Tenaga ASEAN-GCC” untuk menyalurkan modal Arab Saudi dan UAE ke dalam tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur, dan sektor perindustrian ASEAN dengan sasaran menarik sekurang-kurangnya $50 bilion pelaburan Timur Tengah ke pasaran ASEAN menjelang 2026.

Ketiga pakatan rantaian bekalan Semikonduktor ASEAN iaitu mengukuhkan kedudukan ASEAN dalam industri cip global

“Malaysia mesti mengetuai pembangunan rantaian bekalan semikonduktor ASEAN, bekerjasama dengan Thailand, Vietnam, dan Indonesia bagi mengurangkan kebergantungan kepada AS dan China dengan sasaran menubuhkan Perjanjian Kerjasama Semikonduktor ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dan membangunkan hab pembuatan cip serantau menjelang 2027.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com