ALOR SETAR – Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 5.1 peratus pada tahun 2024, berbanding 3.6 peratus pada tahun 2023.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian ini melebihi unjuran awal Kerajaan yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, iaitu di antara 4 peratus hingga 5 peratus.
Menurutnya, Kerajaan MADANI turut mengatasi sasaran defisit fiskal bagi tahun 2024 dengan mencatatkan 4.1 peratus berbanding sasaran 4.3 peratus.
Peningkatan ini mencerminkan keyakinan dan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam mengubah ekonomi Malaysia, dipacu oleh dasar yang jelas dan progresif di bawah kerangka Ekonomi MADANI serta disokong oleh kestabilan politik.
“Kejayaan ini dicapai melalui usaha bersepadu Kerajaan MADANI dan industri. Menjelang tahun 2025, Kerajaan MADANI kekal komited sepenuhnya bagi memperkukuh agenda pembaharuan ekonomi dan institusi untuk melonjakkan negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Anwar berkata, pertumbuhan ekonomi pada tahun 2024 didorong oleh prestasi memberangsangkan dalam sektor-sektor berikut iaitu penggunaan swasta meningkat sebanyak 5.1 peratus (2023: 4.7 peratus), pelaburan meningkat sebanyak 12 peratus (2023: 5.5 peratus), jumlah dagangan meningkat sebanyak 9.2 peratus kepada RM2.88 trilion dan aliran masuk pelaburan langsung asing bersih sebanyak RM47.4 bilion (2023: RM40.4 bilion).
Menurutnya, penunjuk lain yang menyumbang kepada pertumbuhan KDNK 2024 termasuk Inflasi menyederhana kepada 1.8 peratus (2023: 2.5 peratus), dan kadar pengangguran yang rendah pada 3.3 peratus (2023: 3.4 peratus) dengan trend menurun kepada 3.1 peratus pada Disember 2024, terendah dalam tempoh 10 tahun.
Kerajaan MADANI menjangkakan ekonomi berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus bagi tahun 2025, didorong oleh limpahan yang lebih besar daripada kitaran menaik teknologi, pelaksanaan projek infrastruktur kritikal yang lebih pantas, serta aktiviti pelancongan yang lebih rancak.
Di bawah Belanjawan 2025, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan secara kolektif telah bertekad untuk melabur RM25 bilion dalam pelaburan langsung domestik untuk tahun pertama daripada lima tahun pelaksanaan Program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR uP).
Selain itu, perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi berikutan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam dijangka akan terus merangsang pertumbuhan ekonomi.
Namun begitu, permintaan luaran yang lebih lemah daripada rakan dagang utama, peningkatan ketegangan geopolitik dan langkah-langkah perlindungan perdagangan boleh mendatangkan risiko kepada pertumbuhan ekonomi.
Bagi tahun 2024, penambahan pinjaman bersih Kerajaan menurun kepada RM76.8 bilion, pengurangan ketara berbanding RM92.6 bilion pada tahun 2023.
Kerajaan MADANI komited untuk meneruskan pelaksanaan pembaharuan utama dalam pelbagai bidang untuk mengukuhkan kemampanan fiskal jangka masa panjang melalui langkah-langkah penyasaran subsidi, kutipan hasil yang dipertingkatkan dan rangka kerja fiskal yang lebih kukuh.
Usaha ini selaras dengan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) iaitu mengurangkan defisit fiskal kepada 3% dalam jangka masa sederhana untuk kemampanan kewangan.