Friday, 28, February, 2025
Utama Nasional RUU MMM2024 kukuh profesion pengamal media

RUU MMM2024 kukuh profesion pengamal media

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR:Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat kelmarin membuka lembaran baharu buat pengamal media dalam mengukuhkan profesion mereka.

Pengamal media di Kedah, Fakhrul Razi Ismail berkata RUU itu sangat baik bagi menjamin menjamin hak dan kebebasan media dalam melaporkan sesuatu berita dan isu tanpa sekatan atau halangan daripada mana-mana pihak.

Katanya, pada masa sama ia juga dapat mengelakkan penyebaran maklumat-maklumat yang tidak tepat dan tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sekarang kita ada media sosial, banyak kandungan atau laporan yang kurang tepat, tambahan pula sebahagian netizen ada yang cepat menghukum dengan apa yang dilihat tanpa usul periksa.

“Jadi apabila ada RUU ini orang ramai akan lebih mempercayai media arus perdana untuk mendapat maklumat yang lebih tepat atau sahih,” katanya yang merupakan wartawan RTM.

Sementara itu, Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) Mohamad Fauzi Ishak dilaporkan berkata sememangnya kelulusan RUU Majlis Media Malaysia menjadi hal yang dinanti oleh seluruh pengamal media di dalam negara.

Katanya, masa depan industri media itu sendiri akan terus kekal berdaya saing dan kompetetif, seiring dengan kepesatan dunia digital hari ini.

“Selain itu, pelbagai isu kebajikan yang melingkari dan membelenggu warga pengamal media sejak mutakhir ini akan dapat diambil perhatian dan tindakan segera sekali gus ditangani sebaiknya,” kata beliau.

Kelmarin media melaporkan, Industri media Malaysia melakar sejarah baharu apabila Rang Undang-Undang (RRU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 diluluskan oleh Dewan Rakyat di sini, selepas 50 tahun penubuhannya dibincangkan.

RUU yang bertujuan, antara lain menubuhkan badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamal media itu mendapat sokongan majoriti selepas dibahas 18 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

RUU MMM 2024 yang mengandungi 23 Fasal itu dibentangkan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching untuk bacaan kali pertama pada 12 Disember tahun lalu.

Ketika membentangkan RUU MMM 2024 untuk bacaan kali kedua, hari ini, Nie Ching, berkata RUU itu digubal dengan hasrat industri media untuk menubuhkan sebuah badan yang akan memperkukuh tadbir urus media di Malaysia.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com