ALOR SETAR – Kejayaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat agihan dividen RM73.24 bilion mencerminkan keyakinan pelabur terhadap dasar kerajaan MADANI yang mesra pertumbuhan dan pelabur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pencapaian itu turut disokong reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI sekali gus memanfaatkan rakyat untuk pertumbuhan sejagat dan lestari.
“Alhamdulillah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan kadar dividen yang gemilang, dengan jumlah agihan tertinggi dalam sejarah, yakni RM73.24 bilion.
“Malah, Simpanan Shariah juga melakar sejarah, dengan julung kalinya mencapai kadar yang setara dengan Simpanan Konvensional,” katanya menerusi hantaran di media sosial beliau hari ini.
Perdana Menteri berkata prestasi memberangsangkan KWSP itu turut dipacu kepesatan pasaran modal Malaysia yang mekar di tengah tantangan ekonomi global yang penuh dengan pelbagai cabaran.
“Dengan keyakinan yang semakin meningkat dalam ekonomi negara, Insya-Allah kita akan mara dengan penuh iltizam, memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai oleh seluruh rakyat,” katanya.
KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen 2024 yang lebih tinggi iaitu 6.30 peratus (%) bagi kedua-dua jenis simpanan, Konvensional dan Shariah.
Kadar dividen bagi Simpanan Konvensional adalah daripada jumlah agihan sebanyak RM63.05 bilion; manakala bagi Simpanan Shariah, membabitkan agihan berjumlah RM10.19 bilion.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk tahun 2024 sebanyak RM73.24 bilion.
Semua ahli boleh menyemak penyata terkini mulai esok (2 Mac) dan masing-masing digalakkan membuat semakan menerusi aplikasi KWSP i-Akuan.