BARCELONA:Malaysia giat membina ekosistem infrastruktur digital dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab kecemerlangan teknologi.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, berkata usaha itu akan memberi keutamaan kepada kemajuan dalam sektor seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan bandar pintar dalam mentakrifkan semula pengalaman pengguna.
“Visi kita jelas untuk melaksanakan transformasi yang akan meningkatkan kedudukan negara dan mengukuhkan Malaysia sebagai hab kecemerlangan teknologi.
“Dengan pelaburan berterusan, kerjasama yang berimpak tinggi, serta komitmen terhadap kelestarian, Malaysia bersedia untuk membentuk masa depan inovasi digital, menjadikannya mercu tanda kemajuan dan kerjasama di rantau ini,” katanya ketika merasmikan Pavilion Malaysia di Mobile World Congress (MWC) 2025 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Fauzi
berkata menerusi bandar pintar berasaskan 5G, sektor kesihatan mengalami revolusi melalui keterhubungan masa nyata dan teknologi canggih.
“Bayangkan hospital di mana pembedahan jarak jauh dilakukan dengan kependaman hampir sifar, membolehkan pakar bedah berkolaborasi tanpa batasan jarak.
“Dalam pendidikan, AI yang digabungkan dengan AR/VR menawarkan pengalaman pembelajaran yang imersif, melangkaui buku teks tradisional.
” Manakala dalam pertanian, 5G meningkatkan kecekapan melalui pengurusan robotik dan operasi telekomunikasi, membolehkan pertanian pintar serta meningkatkan produktiviti,” jelas beliau.
Selain itu, beliau berkata kecerdasan buatan (AI) turut mampu membentuk semula sektor kewangan, dengan potensi mencipta bank berasaskan AI yang menawarkan perkhidmatan kewangan lebih pintar dan diperibadikan.
Katanya, teknologi satelit juga memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang digital dengan menyediakan keterhubungan berkelajuan tinggi di kawasan terpencil.
“Dengan kemajuan dalam IoT, Komunikasi Direct-to-Device (D2D), dan Pemerhatian Bumi (EO), Malaysia akan terus memperkukuh infrastruktur keterhubungannya,” tambah beliau.

Mengulas mengenai penyertaan Malaysia di MWC 2025, beliau berkata ia mencerminkan komitmen negara dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi mempercepat transformasi digital dengan memastikan elemen keterangkuman dan kelestarian sentiasa diberi keutamaan.
Katanya Pavilion Malaysia, yang menjadi platform untuk mempamerkan kemajuan teknologi negara turut menonjolkan pencapaian Malaysia dalam pelaksanaan rangkaian 5G, kecerdasan buatan (AI) dan pengukuhan infrastruktur digital.
“Kemajuan pesat ekonomi digital Malaysia didorong oleh inisiatif nasional utama seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), kejayaan pelaksanaan 5G serta penubuhan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi memperkasa komuniti setempat.
“Setakat 31 Disember 2024, lebih 9.03 juta premis telah mendapat akses kepada Internet berkelajuan tinggi menerusi JENDELA, sekali gus mengatasi sasaran awal kerajaan sebanyak 9 juta premis menjelang 2025, manakala kelajuan jalur lebar mudah alih negara telah mencapai median 105.36 Mbps.
“Malaysia juga berjaya mencapai liputan 5G sebanyak 82.4 peratus di kawasan berpenduduk, dengan kadar penembusan mudah alih 5G sebanyak 56.18 peratus
“Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain digital utama di rantau ASEAN,” katanya.

Beliau turut menekankan usaha rintis Malaysia dalam perkongsian infrastruktur melalui inisiatif 6-Way Multi-Operator Core Network (MOCN) yang membolehkan pengendali rangkaian mudah alih mengoptimumkan sumber sambil memperluaskan keterhubungan di seluruh negara.
Katanya inisiatif itu, yang pertama seumpamanya di rantau ASEAN, telah menetapkan penanda aras baharu dalam kerjasama antara penyedia perkhidmatan mudah alih, kerajaan negeri dan pihak berkuasa kawal selia.
“Pada masa sama, MCMC Nexus telah mengubah daripada ujian kepantasan mudah kepada alat analitik canggih yang menyediakan maklumat terperinci prestasi rangkaian dan pengalaman pengguna di seluruh negara.
“Ia membolehkan pengguna rangkaian Internet melaporkan secara terus ke aplikasi tersebut dan ia akan terus dilaporkan kepada penyedia perkhidmatan untuk menambah baik perkhidmatan mereka,” katanya.
Mohamad Fauzi menjelaskan buat pertama kali, Malaysia membuat perubahan ketara dalam penyertaannya di MWC dengan menghimpunkan kehadirannya di bawah Pavilion Malaysia.
Katanya langkah ini yang disokong oleh Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), serta pengendali rangkaian mudah alih (MNO) utama, bertujuan meletakkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi digital di ASEAN dan pemain utama di peringkat global.
MWC 2025, yang berlangsung dari 3 hingga 6 Mac di Barcelona, merupakan pameran teknologi mudah alih terbesar di dunia, menghimpunkan pemimpin industri, pembuat dasar dan inovator bagi membincangkan masa depan keterhubungan digital.