BARCELONA: Pavilion Malaysia terus melebarkan sayap dalam melaksana rangkaian 5G negara, infrastruktur digital, dan inovasi kolaboratif di rantau ASEAN.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, berkata menerusi usaha itu
Malaysia kini menempatkan dirinya sebagai pintu gerbang kepada inovasi masa depan.
Katanya, ia akan dilaksanakan dengan kerjasama antara Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), MDEC serta pemimpin industri termasuk DNB, CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile, YTL, Edotco, dan MEASAT.
“Malaysia komited untuk membangunkan ekosistem digital yang memberi manfaat kepada rakyat serta rakan serantau. Pavilion Malaysia di MWC 2025 adalah bukti kemajuan dan visi kami untuk masa depan yang lebih berhubung, inovatif, dan mampan.
“Pavilion Malaysia menampilkan komitmen negara dalam memacu transformasi digital dan memperkukuh kerjasama antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pavilion Malaysia di Mobile World Congress (MWC) 2025 di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Mohamad Fauzi berkata salah satu sorotan utama Pavilion ini ialah Pelan Infrastruktur Digital Negara (JENDELA), yang telah melepasi jangkaan dengan menyediakan akses internet berkelajuan tinggi kepada lebih 9.03 juta premis, melebihi sasaran asal sebanyak 9 juta menjelang 2025.
Katanya, ciri utama lain ialah rangkaian teras Multi-Operator Core Network (MOCN) 6-Hala yang pertama seumpamanya di ASEAN, yang meningkatkan kesalinghubungan melalui infrastruktur dikongsi antara pengendali rangkaian mudah alih.
“Dengan mempamerkan pencapaian kami di MWC 2025, Malaysia membuktikan bahawa kami bukan sahaja sejajar dengan kemajuan global, malah turut menyumbang inovasi berharga yang mendorong pertumbuhan ekonomi dan kemajuan masyarakat,” katanya.
Pengunjung ke Pavilion Malaysia boleh merasai pelbagai pameran kandungan yang menunjukkan aplikasi kemajuan teknologi Malaysia dalam sektor utama seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, penyiaran, pembuatan, bandar pintar, dan kecerdasan buatan (AI).
Penyertaan Malaysia di MWC 2025 membuktikan kesiapsiagaan negara untuk berkolaborasi dengan rakan global dan mencipta peluang baharu.
Pavilion Malaysia akan dipamerkan di Dewan 7, Gerai 7H51 di MWC 2025, yang berlangsung dari 3 hingga 6 Mac, menghimpunkan pemimpin teknologi dari seluruh dunia untuk meneroka masa depan kesalinghubungan digital dan berkongsi kemajuan inovatif.