Thursday, 2, May, 2024
Utama Ekonomi Bajet Kedah 2024: Sanusi melukut di tepian kuasa Persekutuan

Bajet Kedah 2024: Sanusi melukut di tepian kuasa Persekutuan

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR, 30 November – Bajet Kedah 2024 yang baru dibentangkan tiada peningkatan signifikan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Selain tidak ada peningkatan ketara, bajet itu juga wujud penurunan kerana Kerajaan Negeri gagal mewujudkan ruang baharu untuk menjana pendapatan negeri.

Menurut Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, hampir semua projek di bawah Bajet Kedah 2024 memerlukan sokongan kuasa Kerajaan Pusat.

“Secara mudahnya, saya boleh katakan, untuk melaksanakan projek-projek Bajet Kedah 2024 umpama melukut di tepi gantang dan Menteri Besar Sanusi pula terpaksa melukut di tepian kuasa kerajaan Pusat”.

“Tidak ada apa-apa elemen kelainan sama sekali di dalam Bajet Kedah 2024. 75% daripada elemen untuk menjadikan “Kedah Hebat” perlu ada komitmen dan bantuan daripada Kerajaan Pusat”.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini bagi mengulas pembentangan Bajet Kedah 2024 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Sanusi Mohd Nor, pada persidangan DUN di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Selasa lalu.

Bajet Kedah 2024 berjumlah RM1.24 bilion berbanding RM1.35 bilion pada 2022 dan RM1.059 bilion pada 2023.

“Saya nak tanya Sanusi, tak malu ke yang selama ini beliau mencaci dan mencela Perdana Menteri tetapi sekarang nak minta jasa baik Perdana Menteri untuk melaksanakan projek di Kedah?”.

Tambahnya, kerajaan Negeri menerusi pembentangan bajet sering mencanangkan projek-projek seperti “Kedah Rubber City”, “Special Border Economic Zone”, dan “Kedah Science and Technology Park”.

Namun hakikatnya kepimpinan kerajaan Negeri gagal menunaikan tanggungjawab menyantuni dan memenuhi keperluan pelabur sehingga menyebabkan pelabur menarik diri.

“Tak perlu hiasi pembentangan bajet dengan persediaan kerajaan Negeri bagi membina lebih banyak Loji Rawatan Air (LRA) dan sebagainya tetapi apa sudah jadi dengan LRA Bukit Selambau dan beberapa LRA yang sedang dalam pembinaan? Adakah ianya diuruskan dengan baik?”.

Shaiful Hazizy juga mempersoalkan di mana syarikat yang mengendalikan projek Lapangan Terbang Kulim (KXP) beroperasi.

“Kerajaan Negeri bakal terima RM2.5 bilion untuk tujuan pengambilan alihan tanah dalam tempoh 90 hari, tetapi di mana syarikat itu beroperasi? Adakah beroperasi di atas lot kedai nasi ayam di Pandan Mewah, Selangor?.

Apa yang paling membimbangkan projek berimpak tinggi ini kekal di letakkan sebagai projek yang bakal menjadi “katalis” pembangunan baru negeri Kedah dalam keadaan tiada persefahaman dengan kerajaan Persekutuan”, katanya.

Turut dipersoalkan berkaitan perancangan Tahun Melawat Kedah 2025.

“Tahun 2025 mahu dilancarkan tetapi sehingga sekarang tiada maklumat permulaan dan pengakhiran, ataupun baru nak bincang?

Saya sangsi kesungguhan kerajaan Negeri mahu menjayakan program ini tetapi bergaduh dengan Menteri Pelancongan, pada pandangan saya kalau MOTAC tak dilibatkan alamatnya program ni bakal masuk longkanglah”.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan Pusat menggantung sebarang inisiatif berkaitan Unsur Nadir Bumi (REE) di negeri Kedah.

“Kita sedia maklum berkaitan skandal REE Kedah yang melibatkan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar dan bekas CEO MBI, saya kurang yakin akan kredibiliti dan keupayaan kerajaan Negeri yang diketuai oleh Sanusi bagi mengendalikan sumber yang sangat berpotensi ini”, kata Shaiful Hazizy.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com