ALOR SETAR – Seorang remaja yang terlibat dalam kemalangan jalan raya bersama sahabat karibnya di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent pada malam Khamis sempat memuji masakan ibunya semasa berbuka puasa.
Ibu mangsa, Sharifah Nur Afzan Syed Abdul Rahman, 48, berkata, keluarga mereka sempat berbuka puasa bersama-sama kira-kira jam 7.30 malam sebelum kejadian tragis itu berlaku.
Anak lelakinya, Muhammad Dhani Arumi Mohd Azlan, 18, sempat memuji bihun goreng yang dimasak ibunya walaupun menurut ibunya, masakan tersebut biasa sahaja.
“Waktu berbuka puasa, Dhani kata bihun saya sedap. Bagaimanapun, saya tahu bihun goreng daging itu tidak sedap,” katanya sambil mengimbas kembali saat-saat terakhir bersama anak lelakinya.
Tambah beliau, anak lelakinya banyak membantu ayahnya melakukan kerja rumah beberapa hari sebelum kejadian tanpa sebarang rungutan, dan menunjukkan perubahan tingkah laku yang luar biasa termasuk membawa beg silang ke masjid.
Dhani bersama rakan-rakannya menaiki kereta Perodua Myvi selepas solat tarawih sebelum terlibat dalam kemalangan tersebut.
Sementara itu, malam kejadian, ibu bapa Muhammad Danish Iqbal, 18, turut melalui jalan berkenaan tanpa menyedari anak mereka berada dalam kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.
“Saya berasa tidak sedap hati apabila dimaklumkan peniaga bahawa kemalangan terbabit melibatkan lima remaja yang menaiki kereta berwarna putih.
Muhammad Danish juga tumpang kereta rakannya yang berwarna putih,” kata bapa Muhammad Danish, Mohd Niza Nazari, 49.
Kedua-dua keluarga reda dengan pemergian anak mereka dan jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Islam yang berasingan.
terdahulu, media melaporkan dua remaja lelaki yang maut dalam kemalangan di hadapan SMK Convent pada Khamis dalam perjalanan pulang dari solat tarawih.
Mereka menaiki kereta jenis Perodua Myvi bersama tiga lagi rakan mereka.