Saturday, 20, April, 2024
Utama Negeri Bot nelayan pukat tunda ditahan miliki alat komunikasi tidak berdaftar

Bot nelayan pukat tunda ditahan miliki alat komunikasi tidak berdaftar

oleh Ammar Haziq

Anggota penguatkuasa Maritim memeriksa bot nelayan yang tidak memiliki alat komunikasi yang tidak berdaftar. FOTO MARITIM

LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C pada jarak sekitar 6 batu nautika barat daya Pulau Singa pada jam 2 petang semalam.
 
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, ketika ditahan bot nelayan itu sedang bergerak keluar dari pulau untuk menangkap ikan.
 
Hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan itu mempunyai tiga alat komunikasi jenis radio Very High Frequency (VHF) yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
 
Pemeriksaan lain mendapati, bot itu membawa seorang tekong bersama dua kru masing-masing warga tempatan dan Thailand dalam lingkungan umur 37 hingga 53 tahun.
 
Bot dan kesemua kru yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk tindakan lanjut.
 
Kes akan disiasat di bawah Akta SKMM 1998 kerana nelayan tidak mempunyai surat kebenaran menggunakan alat komunikasi dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.
 
Komuniti maritim setempat diseru untuk bekerjasama memantau perkara seperti ini dan melaporkan sebarang maklumat kepada Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999.
 
Kerjasama antara Maritim Malaysia dan komuniti perlu dieratkan demi memastikan perairan Negeri Kedah dan Perlis sentiasa aman dan terpelihara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com