Ketua Jurulatih interim Kedah Darul Aman (KDA) FC, Victor Andrag, tetap menyanjung tinggi semangat juang anak buahnya walaupun pasukannya tewas 2-3 kepada Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi Liga Super 2024-2025 di Stadium Darul Aman, malam Jumaat.
Walaupun berdepan cabaran getir, termasuk masalah kewangan kelab, Victor menegaskan bahawa pemainnya terutamanya barisan muda telah menunjukkan karakter luar biasa di atas padang.
“Malam ini lapan pemain muda berada dalam pasukan dan mereka berjaya tunjukkan karakter mereka. Mereka mahu membuktikan sesuatu. Jika saya abaikan, siapa lagi yang mahu bantu mereka?” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Menurutnya, walaupun pengalaman menjadi faktor pemisah antara kedua-dua pasukan, KDA FC tetap beraksi dengan penuh semangat dan dedikasi.
Victor turut mengakui bahawa isu kewangan yang melanda pasukan menyukarkan keadaan, terutama dalam aspek tuntutan komitmen daripada pemain senior. Namun, beliau tetap berbangga dengan mereka yang masih sanggup berjuang demi kelab.
“Kita bergerak dengan apa yang ada, dengan mereka yang sanggup demi masa depan mereka. Yang belum ada nama dalam kancah bola sepak tempatan, mereka inilah yang mahu mencari rentak,”ujarnya.
Katanya, beberapa pemain senior tetap berusaha membimbing pemain muda meskipun situasi tidak memihak kepada mereka.
Beliau percaya bahawa kombinasi tenaga muda dan pengalaman dalam pasukan mampu memberi impak positif untuk baki musim ini.
Kekalahan tipis ini menyaksikan KDA FC kekal di tangga ke-10 Liga Super dengan 20 mata selepas 19 perlawanan, manakala KL City FC melonjak ke tangga keenam dengan 28 mata.
Namun, Victor dan pasukannya tidak mahu terus meratapi kekalahan. Mereka kini mengalihkan fokus kepada baki lima perlawanan liga, dengan harapan dapat menamatkan musim dengan keputusan yang lebih baik.
“Kita tidak boleh sia-siakan bakat yang ada. Kita perlu lakukan sesuatu dan terus berusaha. Saya akan pastikan mereka yang masih mempunyai kemahuan untuk berjuang diberikan peluang,”katanya lagi.
KDA FC seterusnya akan berkunjung ke Sarawak untuk menghadapi Kuching City FC dalam aksi tertunda Liga Super pada 12 Mac ini.
Walaupun berdepan kekalahan dan masalah dalaman, semangat juang pemain KDA FC masih membara.
Dengan bimbingan Victor Andrag, pasukan ini terus berusaha untuk mengharungi cabaran dan membuktikan bahawa mereka mampu bersaing di pentas tertinggi bola sepak tempatan.