Wednesday, 12, March, 2025
Utama Nasional PM berbuka puasa bersama lebih 10,000 hadirin di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin

PM berbuka puasa bersama lebih 10,000 hadirin di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghadiri majlis berbuka puasa bersama lebih 10,000 hadirin di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini pada Isnin.

Majlis anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) ini turut melibatkan penyertaan golongan agamawan dan asnaf.

Perdana Menteri yang segak berbaju Melayu biru muda tiba di perkarangan masjid sekitar jam 7 malam, disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, serta Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee.

“Semoga majlis seperti bukan sahaja mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan sesama kıta tanpa mengira pangkat, malah lebih dari İtu kıta jadikan kegiatan ini untuk kıta membuat refleksi dan mempertingkatkan sifat keihsanan sesama insan,” kata Anwar menerusi Facebook rasminya.

Majlis berbuka puasa ini bukan sekadar acara keagamaan tetapi juga platform memupuk kesedaran mengenai kepentingan nilai kemanusiaan dan kepedulian terhadap golongan memerlukan.

“Melalui inisiatif ini, kita dapat menggalakkan semangat ukhuwah, memupuk rasa kasih sayang dan menjalin hubungan lebih erat antara rakyat dan kerajaan,” kata Mohd Na’im dalam kenyataan awalnya.

Terdahulu, hadirin berpeluang mendengar ceramah khas bertajuk “Ramadan Pemacu Ummah MADANI” yang disampaikan oleh Datuk Badlishah Alauddin.

Ceramah ini menekankan kepentingan Ramadan dalam membentuk masyarakat yang bertamadun serta nilai-nilai Malaysia MADANI yang berasaskan kemanusiaan dan kesejahteraan.

Selain itu, majlis turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada kumpulan nasyid terkenal, Rabbani, yang menyampaikan lagu-lagu bertemakan ketuhanan dan keinsafan.

Kehadiran Perdana Menteri dan barisan pemimpin ke majlis ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh hubungan dengan rakyat, terutama golongan asnaf dan agamawan.

Inisiatif seperti ini bukan sahaja memeriahkan sambutan Ramadan tetapi juga menjadi medium perpaduan antara masyarakat dan kerajaan dalam membentuk negara yang prihatin dan inklusif.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com