FOTO : Nurul Husna bersama Puteri Syafiza yang kini telah bebas penyakit kanser namun masih memerlukan pemantauan doktor. foto kecil : Nurul Nadia Abu Bakar
ALOR SETAR – “Sebelum ini kami terpaksa jual semua barang dalam rumah demi membiayai rawatan anak yang disahkan menghidap kanser kanser limfoma semasa berusia dua tahun.”
Demikian kata Nurul Husna Mohd Khir, 31, ibu kepada Puteri Syafiza Umairah berusia lapan tahun.
Menurutnya, kehidupannya berubah sepenuhnya selepas anaknya disahkan menghidap penyakit itu, malah dia dan suaminya, Mohd Samrin Halim, 33, terpaksa berpindah ke rumah ibu mentua di Kuala Ketil kerana tidak mampu menampung kos rawatan dan ulang-alik ke Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Kami terpaksa menjual apa sahaja yang ada dalam rumah kerana rawatan anak memerlukan kos yang tinggi, termasuk sesi kemoterapi sejak 2019.
“Alhamdulillah, selepas rawatan berterusan, doktor akhirnya mengesahkan anak saya bebas daripada kanser, namun masih perlu dipantau dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui pada program Majlis Ramadan Kita di Dewan Besar Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Jalan Teluk Wanjah, di sini.
Nurul Husna merupakan salah seorang daripada 106 penerima sumbangan Ramadan berupa wang tunai RM200 dan barangan keperluan hasil pembayaran zakat oleh Syarikat Konsesi Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam E-Idaman Sdn Bhd serta KSDC Insurance Brokers Sdn Bhd.
Sementara itu, Nurul Nadia Abu Bakar, 37, turut reda apabila dua anaknya, Muhammad Hasif Thaqif, 14, dan Nur Azra Faqihah, 11, kehilangan penglihatan sebelah mata akibat kanser retinoblastoma.
Menurutnya, anak sulungnya, Hasif disahkan menghidap penyakit itu sejak lahir dan terpaksa menjalani pembedahan membuang mata kiri ketika berusia 20 hari, sebelum melalui rawatan kemoterapi.
“Tak sangka adiknya, Azra, turut mengalami penyakit yang sama dan menjalani pembedahan membuang mata kiri ketika usianya lima tahun.
“Si abang bukan sahaja menghidap kanser, tetapi juga autisme. Kini, dia belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah, manakala Azra pula di Sekolah Kebangsaan (SK) Intan Shafinaz,” katanya.
Nurul Nadia berkata, mereka sekeluarga bergantung kepada pendapatan suaminya yang bekerja sebagai mekanik di Langkawi dengan gaji tidak menentu, sementara dia sendiri perlu berulang-alik membawa anak-anak menjalani pemeriksaan di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ketua Pegawai Agihan LZNK, Mohamad Suraidi Saad berkata, kebanyakan penerima adalah pesakit kanser yang menerima zakat bulanan dan sumbangan kali ini diharap dapat membantu mereka menjelang Ramadan dan Aidilfitri.
“Keseluruhannya, LZNK akan mengagihkan RM14 juta kepada semua penerima zakat di Kedah sebelum Aidilfitri bagi meringankan beban mereka.
“Diharapkan sumbangan ini dapat memberi sedikit kegembiraan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.