Wednesday, 12, March, 2025
Utama Nasional PM nasihat penyampai Era FM jadi ejen perpaduan

PM nasihat penyampai Era FM jadi ejen perpaduan

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan tiga penyampai radio Era FM agar memainkan peranan sebagai ejen perpaduan dalam masyarakat, selari dengan konsep Malaysia MADANI yang menekankan keharmonian dan kebersamaan rakyat.

Nasihat itu disampaikan ketika Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Pengamal Media di Angkasapuri, yang turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, serta barisan kepimpinan tertinggi media negara.

Anwar menekankan bahawa media mempunyai pengaruh besar dalam membentuk pemikiran rakyat.

“Saya turut sampaikan nasihat kepada tiga penyampai radio Era FM dan meminta mereka membantu Kerajaan MADANI menjadi ejen perpaduan selain menoktahkan isu yang berlaku sebelum ini.

“Saya percaya media punyai peranan penting dalam mengangkat martabat dan nama negara ke tahap lebih tinggi,” katanya melalui Facebook rasminya.

Majlis berbuka puasa itu turut menyaksikan Perdana Menteri menyampaikan sumbangan kepada pengamal media yang uzur dan berdepan kesulitan, sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka dalam industri kewartawanan.

Beliau juga meluangkan masa beramah mesra dengan wartawan, penyampai radio, serta pengurusan tertinggi pelbagai agensi media sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.

Majlis ini menggambarkan hubungan erat antara kerajaan dan pengamal media, selain mengiktiraf peranan media dalam membentuk naratif negara.

Melalui konsep Malaysia MADANI, kerajaan berharap agar media dapat terus menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial yang harmoni dan bersatu padu.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua pengamal media yang hadir dan menyumbang kepada kejayaan majlis tersebut.

“Terima kasih kepada rakan-rakan media yang terus bekerja keras untuk menyampaikan maklumat yang tepat dan bertanggungjawab. Bersama, kita dapat membina sebuah negara yang lebih harmoni dan progresif,” tambahnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com