Tuesday, 14, May, 2024
Utama Nasional Kerajaan sasar tingkat mutu pendidikan negara mulai 2024

Kerajaan sasar tingkat mutu pendidikan negara mulai 2024

oleh Ammar Haziq

BANGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyasarkan supaya mutu pendidikan negara dapat ditingkatkan ke tahap lebih tinggi mulai tahun hadapan.

Perdana Menteri berkata, sasaran itu ditetapkan sebagai kesinambungan kepada usaha kerajaan dalam menangani isu sekolah daif tahun ini.

“Mulai bulan Januari 2024, penekanan kita selain daripada menyelesaikan hal-hal kemudahan asas dan prasarana, saya beritahu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan juga Menteri Pendidikan Tinggi, Khaled Nordin, tumpuan kita ialah meningkat dan mengangkat mutu pendidikan negara.

“Sekolah sudah elok, tandas sudah siap, kemudahan asas cukup, tunggu apa lagi. Tapi prestasi masih sama tahun lalu, itu tidak boleh kita terima. Minta kemudahan..minta bantuan, kita bantu. Tahun ini lebih baik tapi prestasi murid-murid tidak berubah. Kita tak boleh terima,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan dan perasmian Projek Rintis Bangunan Daif Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, semalam.

Justeru, beliau meminta Kementerian Pendidikan supaya menumpukan sepenuhnya terhadap soal kualiti pendidikan.

“Tidak payah fikir masalah lain, tumpu sepenuhnya bagaimana hendak perbaiki penguasaan bahasa, matematik, sains, komputer, agama dan semua mata pelajaran itu dengan tumpuan sepenuhnya,” katanya.

Beliau turut meminta persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) untuk memainkan peranan dalam meningkatkan mutu pendidikan.

“PIBG, saya minta selain daripada bincang hal-hal lain, bincang bagaimana hendak galakkan ibu bapa beri perhatian lebih setiap malam.

“Bagaimana anak-anak tumpu sekurang-kurangnya setengah atau sejam ulang kaji.

“Negara kita tidak boleh terangkat kalau mutu pendidikan kita tidak boleh maju dan meningkat serta berubah. Jadi, saya harap dengan politik kita sudah stabil dan Kerajaan Perpaduan bertambah kuat, kita hendak tumpu pembangunan dari segi lain ekonomi tapi untuk sekolah, saya juga akan berusaha (tingkatkan mutu pendidikan),” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com