Friday, 14, March, 2025
Utama Negeri Subjek pendidikan, matematik UUM disenarai dalam QS World University Rankings by Subjects 2025

Subjek pendidikan, matematik UUM disenarai dalam QS World University Rankings by Subjects 2025

oleh Ammar Haziq

SINTOK– Universiti Utara Malaysia (UUM) mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya subjek Pendidikan dan Matematik berjaya disenaraikan dalam QS World University Rankings (QSWUR) by Subjects 2025 dengan kedudukan 301-330 dan 501-600 di peringkat global.

Selain itu, Perakaunan dan Kewangan UUM mengekalkan prestasi cemerlang dalam kelompok 151-200 terbaik dunia, manakala Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris menunjukkan peningkatan ketara ke kedudukan 251-300.

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, berkata kejayaan ini adalah bukti usaha berterusan universiti dalam memperkukuhkan bidang akademik dan penyelidikan, sejajar dengan aspirasi untuk menjadi institusi pendidikan tinggi terkemuka di peringkat antarabangsa.

“Kedudukan ini adalah hasil daripada komitmen dalam memperkasakan penyelidikan berkualiti tinggi, membina jaringan kerjasama strategik, serta penganjuran persidangan antarabangsa yang berterusan.

“Kejayaan ini juga didorong oleh peningkatan program mobiliti akademik serta penerbitan yang diiktiraf di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan.

Penarafan QS World University Rankings by Subjects 2025 menilai universiti berdasarkan reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi penyelidikan, penerbitan H-Index, serta jaringan kolaborasi antarabangsa.

Selain subjek Pendidikan dan Matematik, UUM turut mencatat kedudukan membanggakan dalam beberapa bidang lain:

Ekonomi dan Ekonometrik (251-300)

Sains Sosial & Pengurusan (274)

Pengajian Perniagaan dan Pengurusan (251-300)

Kesenian & Kemanusiaan (501-550)

Sains Komputer dan Sistem Maklumat (551-600)

Menurut Mohd Foad, kejayaan ini bukan hanya meningkatkan reputasi universiti tetapi juga memberi manfaat kepada pelajar dan pensyarah dalam bentuk peluang penyelidikan dan kolaborasi antarabangsa.

“Pencapaian ini akan terus memacu UUM dalam usaha melahirkan graduan berkualiti, memperluaskan kerjasama akademik dengan institusi luar negara, dan meningkatkan daya saing dalam penyelidikan serta inovasi,” tambahnya.

Dengan kejayaan ini, UUM semakin kukuh sebagai institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing di peringkat global, seiring dengan usaha berterusan untuk mengekalkan kecemerlangan akademik dan penyelidikan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com