BAGAN SERAI: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan agar pemimpin tidak menggunakan kelebihan dan kedudukan untuk melakukan penyelewengan termasuk mencuri wang kerajaan.
Perdana Menteri, berkata setiap pemimpin perlu bermuhasabah diri terutama ketika di bulan Ramadan.
Malah beliau turut mengulangi pendiriannya tidak mengambil gaji biarpun berhak demi menunjukkan kepada rakyat bukan semua menteri menyeleweng wang kerajaan.
“Saya tak ambil gaji sebab apa? Saya nak tunjukkan bahawa bukan semua menteri curi duit… gaji itu hak, kalau orang ambil gaji itu haknya.
“Tetapi jangan curi, simpan di rumah-rumah lain…. tak boleh…. jadi Perdana Menteri, jadi Menteri Kewangan, kerjanya nak kayakan diri. Tak boleh! Kalau tidak negeri ini rosak,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Alaudin, Selinsing, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim; dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Anwar berkata, tiada sebab untuk beliau bergaduh dan berdendam dengan sesiapa pun memandangkan sudah memegang jawatan Perdana Menteri.
“Tuan-tuan dan puan-puan, saudara saudari kena faham… ada orang kata ini pasal dendam, marah. Saya sudah (menjawat) Perdana Menteri, hendak bergaduh apa lagi?
“Saya Perdana Menteri. Tanggungjawab saya nak jaga duit rakyat ini supaya balik kepada rakyat,” katanya.
“Saya fikir boleh beri RM100,000 untuk setiap kampung (melalui geran Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI)). Kerana kita ada upaya kalau kita tak curi dan sakau wang kerajaan.
“Ini semangat Ramadan untuk bentuk akhlak, nilai, disiplin, tak tipu sebagai mana kita berpuasa kalau kita tipu orang tak tahu namun Allah SWT tahu. Jadi madrasah Ramadan ertinya bentuk keyakinan dan kekuatan integriti, peribadi kita supaya betulkan nilai,” katanya.