PUTRAJAYA – Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun tidak seharusnya dijadikan bahan politik perkauman yang sempit dan dangkal, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah, Anwar mengingatkan segelintir pihak, khususnya pembangkang, agar tidak mempolitikkan isu ini secara tidak bertanggungjawab.
Beliau menegaskan bahawa langkah ini selaras dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan merupakan usaha penting untuk memperkukuh demokrasi negara.
“Roh dan sifat jawatan Perdana Menteri sudah jelas termaktub dalam Perlembagaan.
“Mengehadkan tempoh jawatan ini tidak bercanggah dengan prinsip asas tersebut, malah ia adalah langkah penting untuk menjamin kematangan demokrasi,” katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung pada Isnin.
Menurutnya, mana-mana Ahli Parlimen yang mempersoalkan cadangan ini agar membaca dan memahami buku beliau, Membangun Negara Madani , khususnya muka surat 181 yang membincangkan dasar keutamaan untuk Malaysia yang lebih baik.
Cadangan ini kembali menjadi perhatian selepas dibangkitkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, di Kongres ke-18 DAP di Shah Alam pada Ahad.
Anwar menyatakan kesediaan kerajaan untuk meminda Perlembagaan bagi merealisasikan cadangan ini, dengan syarat mendapat konsensus Dewan Rakyat.
Tunku Nashrul menambah bahawa langkah ini seiring dengan visi reformasi yang ditekankan dalam gagasan Membangun Negara Madani .
Ia bertujuan memastikan pentadbiran yang bersih, sistem yang teratur, dan mengelakkan pemusatan kuasa yang boleh membawa kepada penyelewengan.
“Beberapa negara seperti Indonesia telah melaksanakan pendekatan ini. Ia juga mengambil kira landskap geopolitik masa kini yang memerlukan ruang untuk pemimpin baharu dan pelapis kepimpinan negara,” jelasnya.
Langkah ini dilihat sebagai usaha penting untuk memastikan kesinambungan pentadbiran yang lebih baik, sekaligus memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi negara.