Monday, 29, April, 2024
Utama Nasional Anwar jangan hasut rakyat pertikai kebijaksanaan Agong

Anwar jangan hasut rakyat pertikai kebijaksanaan Agong

oleh Ammar Haziq

KENYATAAN RASMI MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

15 Januari 2021 | 2 Jamadil Akhir 1442H

ANWAR IBRAHIM: JANGAN HASUT RAKYAT PERTIKAI KEBIJAKSANAAN YDPA

1. Proklamasi Darurat yang telah dilaksanakan hari ini adalah atas pertimbangan dan kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, berdasarkan situasi semasa akibat daripada bencana besar dan pandemik yang mengancam keselamatan serta kehidupan ekonomi rakyat Malaysia. Sehingga hari ini, bilangan kes semakin meningkat dan terus mencapai ribuan angka sehari.

2. Pungutan suara yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan disertai hampir 120,000 responden, menunjukkan bahawa majoriti rakyat bersetuju dengan pelaksanaan Darurat. Rakyat melihat ini sebagai suatu tindakan yang wajar, kerana kepentingan nyawa dan keselamatan itu lebih besar agendanya berbanding yang lain. Bukan mudah untuk rakyat menelan kepayahan ini, namun inilah hakikat yang perlu diakui bagi memastikan kestabilan yang lebih baik dalam tempoh yang bakal mendatang.

3. Pemuda PAS menzahirkan rasa marah dan kekecewaan yang teramat kepada Ketua Pembangkang, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tindakannya mengajak semua Ahli Parlimen menderhaka dan menentang Proklamasi Darurat ini. Beliau sepatutnya dilihat sebagai tokoh negara yang rasional dan menolak matlamat peribadi dalam keadaan getir ini. Namun sebaiknya berlaku, beliau memilih untuk menjadi batu api dan mengheret rakyat ke arah kegusaran. Tanpa segan silu, beliau menjadikan keselamatan rakyat sebagai taruhan sekali lagi, demi mencapai cita-cita peribadinya.

4. Pemuda PAS menegaskan bahawa sebarang usaha untuk mempertaruhkan nyawa rakyat merupakan pengkhianatan yang besar kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, negara serta seluruh rakyat jelata. Seharusnya pada waktu inilah kita berhenti berpolemik dan bersatu hati, meneruskan segala idea dan rancangan bagi melandaikan lekuk jangkitan COVID-19. Malah kerajaan telah bersikap terbuka dengan mengajak wakil Pembangkang untuk bersama dalam Jawatankuasa Khas Bebas yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk meneruskan atau menghentikan darurat.

5. Cadangan gopoh serta tidak bijak Anwar Ibrahim untuk menolak Proklamasi Darurat ini juga langsung tidak disertakan dengan idea lain, selain daripada mendesak untuk diadakan Persidangan Parlimen dalam keadaan rakyat sedang diancam jangkitan wabak. Setakat hari ini, sudah 5 orang Ahli Parlimen dijangkiti wabak COVID-19. Masih perlukah sidang Parlimen diadakan? Dan apa muslihat Anwar mendesak persidangan Parlimen? Untuk jatuhkan kerajaan melalui undi tidak percaya? Tidak cukupkah kita dengan apa yang berlaku di Sabah selepas kerajaan dijatuhkan, dan seluruh rakyat terpaksa menanggung akibatnya?

6. Pemuda PAS menggesa tindakan tegas diambil terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta mana-mana individu yang terus menerus menanam keraguan serta mempertikai keputusan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam mengekang wabak COVID-19. Pemuda PAS juga menyatakan komitmen mendokong sepenuhnya usaha kerajaan, dan akan mengerah kesemua ahlinya untuk terus membantu dalam apa jua sudut, sehingga wabak ini berjaya dikawal dengan baik.

Nazir Helmi
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com