Tuesday, 1, April, 2025
Utama Negeri Rindukan gulai ikan termenung masakan ayah – anak Sabari

Rindukan gulai ikan termenung masakan ayah – anak Sabari

oleh Ammar Haziq

JITRA – Ramadan tahun ini membawa kesayuan bagi Dr. Suraiya Izzati, 30, yang kehilangan bapanya, Sabari Baharom, seorang bekas pegawai kewangan agensi kerajaan yang menjadi mangsa pembunuhan kejam, tujuh bulan lalu.

Suraiya mengakui bulan puasa kali ini berbeza tanpa kehadiran bapanya yang biasa menyajikan masakan istimewa untuk keluarga.

Sabari, 62, dipercayai diculik dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Baling, sebelum dicampak ke Sungai Padang Terap, Kampung Empa, dengan tangan terikat dan mulut ditutup pita pelekat pada 3 September tahun lalu.

“Ramadan ini, saya cuba masak sendiri gulai ikan termenung kegemaran ayah, tetapi rasanya tidak sama seperti masakan dia.

“Ayah selalu bangun awal untuk bersahur, kemudian menunaikan solat Subuh di masjid. Dia teruja setiap kali kami balik untuk berbuka bersama,” luahnya dengan sebak ketika ditemui di lokasi kejadian pada Ahad.

Menurut Suraiya, kenangan melihat bapanya menyediakan hidangan seperti ketupat palas, rendang ayam, dan serunding daging pada Aidilfitri kini hanya tinggal memori.

Beliau menceritakan bagaimana bapanya yang dulunya tidak pandai memasak akhirnya menjadi cekap selepas sering merujuk buku resipi.

Bagaimanapun, kehilangan tragis itu sukar diterima.

“Jika ayah meninggal dunia disebabkan sakit tua, mungkin saya lebih mudah terima. Tetapi cara dia pergi sangat kejam. Saya hanya mampu berdoa agar keadilan ditegakkan,” katanya sayu.

Setiap kali menghadiri perbicaraan kes bapanya di Mahkamah Jitra, beliau bersama adiknya, Muhammad Amir Hakimi, 26, akan melawat sungai tersebut sebagai penghormatan kepada arwah.

Kes tersebut kini masih dalam proses untuk pindah izin ke Mahkamah Tinggi dengan sebutan semula pada 20 Mac ini.

“Saya menaruh harapan agar keadilan berpihak kepada ayah. Inilah doa yang sentiasa saya panjatkan,” ujarnya.

Peristiwa tragis yang menimpa keluarga ini menggambarkan kesakitan kehilangan yang dialami oleh mereka yang ditinggalkan, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku secara kejam dan tidak dijangka.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com