Tuesday, 1, April, 2025
Utama Negeri Abang parah, adik cedera akibat mercun bola di Kuala Nerang

Abang parah, adik cedera akibat mercun bola di Kuala Nerang

oleh Ammar Haziq

PADANG TERAP – Dua beradik berusia empat dan tujuh tahun cedera dalam kejadian dipercayai akibat bermain mercun bola di Kampung Baru, Kuala Nerang, pada malam Selasa.

Salah seorang mangsa dilaporkan parah dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Supt Abdull Razak Osman, memaklumkan bahawa pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.32 pagi, selepas kedua-dua mangsa dikejarkan ke hospital sekitar jam 9.30 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 8.15 malam di sebuah rumah di Kampung Baru.

“Mercun jenis bola dipercayai diperoleh daripada rakan sekampung mangsa. Ibu mangsa hanya menyedari kejadian selepas terdengar bunyi letupan di luar rumah, sementara bapa mangsa tidak berada di rumah ketika itu,” katanya.

Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan melecur di beberapa bahagian badan, dengan mangsa berusia tujuh tahun dilaporkan dalam keadaan serius.

Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Jika sabit kesalahan, hukuman bagi memiliki bahan letupan boleh dikenakan penjara sehingga 10 tahun.

“Manakala bagi kesalahan menyebabkan atau membiarkan kanak-kanak berada dalam situasi bahaya, hukuman termasuk denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun, atau kedua-duanya,” jelasnya.

Kejadian tragis tersebut telah meninggalkan trauma mendalam kepada datuk kepada dua mangsa tersebut, Mohd Nor Abdullah, 60.

Menurut Mohd Nor, beliau yang sedang berehat di rumah tergamam apabila terdengar bunyi letupan kuat dari luar.

“Saya terus keluar dan melihat cucu saya berlumuran darah. Tangannya cedera teruk dan pipinya terkoyak akibat letupan.

Saya cepat-cepat ambil baju untuk membalut lukanya sebelum membawanya ke hospital menggunakan kereta rakan,” katanya dengan nada sebak.

Letupan mercun itu bukan sahaja mencederakan Muhammad Zharif Daniel, tetapi juga mencederakan adiknya, Muhammad Aiman Naufal, 4, yang mengalami luka ringan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com